KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menahan dua individu dan merampas 50 sumbu badak dianggarkan bernilai RM30 juta.

Rampasan terbesar dalam tempoh lima tahun itu dibuat susulan serbuan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Zon Tengah membabitkan suspek jenayah penyeludupan hidupan liar di bulatan Masjid KLIA Sepang, pada 9 September lalu.

Dalam satu kenyataan, Perhilitan berkata, semua sumbu badak terbabit ditemui ketika pemeriksaan dijalankan pasukan berkenaan.

"Spesies-spesies badak serta bahagiannya adalah dilindungi dan dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan liar 2010 (Akta 716).

"Ia juga disenaraikan di bawah Apendiks I dalam Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam (Akta 686) di mana spesies-spesies ini tidak boleh diperdagangkan sama ada diimport atau dieksport bagi tujuan komersial.

"Kesemua 50 unit disyaki sumbu badak ini akan dijalankan analisis Deoxyribonucleic Acid atau DNA oleh Makmal Forensik Perhilitan bagi mengenal pasti sumber asal sumbu badak tersebut sama ada ia daripada spesies badak tempatan atau luar negara.

"Bagaimanapun, setakat ini sumbu badak tersebut disyaki diseludup dari luar negara," jelas kenyataan itu lagi.

Dalam masa yang sama, kedua-dua suspek yang ditahan itu akan disiasat di bawah Seksyen 68, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Jika disabit kesalahan, hukuman denda boleh dikenakan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Perhilitan berkata, kes penyeludupan sumbu badak sejak beberapa tahun ini adalah serius serta berprofil tinggi.

"Terdapat lima kes berkaitan dengan penyeludupan yang melibatkan 96 unit
sumbu Badak telah direkodkan oleh Jabatan Perhilitan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini," katanya.