Perhilitan tahan lelaki Bangladesh simpan 100 kura-kura, labi-labi tanpa lesen

Pengarah Perhilitan negeri Pulau Pinang, Mohd Zaide Mohamed Zin (dua, kanan) menunjukkan pelbagai jenis kura-kura yang dirampas hari ini. - Foto Bernama
BUKIT MERTAJAM: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pulau Pinang menahan seorang lelaki Bangladesh kerana menyimpan 100 kura-kura dan labi-labi tanpa lesen dalam serbuan di sebuah rumah di Bagan Lalang, Butterworth, Ahad lepas.
Pengarah Perhilitan negeri Mohd Zaide Mohamed Zin berkata serbuan pada 4.45 petang itu dilakukan bersama-sama polis hasil risikan dan maklumat sejak dua minggu lepas, dengan semua haiwan itu dipercayai ditangkap atau dibeli daripada individu lain.
"Serbuan menemukan 94 kura-kura spesies katup, kolam, Chinese Striped-Nosed dan Red-eared Slider serta enam labi-labi diletakkan di dalam beberapa tong plastik dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM20,000," katanya pada sidang media di Pejabat Perhilitan Daerah Seberang Perai di sini, hari ini.
Mohd Zaide berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek berusia 45 tahun itu telah melakukan aktiviti tersebut untuk tempoh masa yang lama, malah mungkin sehingga bertahun.
Berdasarkan siasatan, haiwan itu dipercayai dijual bagi tujuan keagamaan pada harga antara RM20 hingga RM200 seekor mengikut saiz.

Perhilitan Pulau Pinang menahan seorang warga Bangladesh kerana disyaki menyimpan 100 ekor kura-kura dan labi-labi tanpa lesen dalam serbuan sebuah rumah di Bagan Lalang, Butterworth pada Ahad lepas. - Foto Bernama
Mohd Zaide berkata suspek yang memiliki dokumen perjalanan sah direman selama empat hari bermula semalam, untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata haiwan yang dirampas akan dilepaskan ke habitat asal selepas memperoleh perintah pelupusan daripada mahkamah manakala spesies luar negara pula akan ditempatkan sementara di Pusat Penyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak bagi tujuan kuarantin.
Beliau berkata kura-kura dan labi-labi merupakan spesies haiwan dilindungi, justeru individu yang berhasrat memelihara atau menyimpan haiwan eksotik itu perlu mendapatkan lesen daripada Jabatan Perhilitan.
Beliau berkata mereka yang melanggar arahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 60 (1) (a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


