MALAYSIA
Perhilitan tangkap gajah jantan remaja di Jerantut

Rozidan berkata pihaknya akan memindahkan haiwan liar tersebut ke habitat sesuai seperti di Taman Negara. - Gambar hiasan/Sinar Harian
JERANTUT: Seekor gajah jantan remaja yang dikesan berkeliaran di kawasan kuarters Klinik Kesihatan Bandar Jerantut semalam berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang.
Pengarahnya Rozidan Md Yasin berkata pihaknya akan memindahkan haiwan liar tersebut ke habitat sesuai seperti di Taman Negara.
"Kejadian ini jarang berlaku di kawasan berkenaan namun ia merupakan sesuatu yang biasa bagi gajah jantan remaja untuk keluar daripada kumpulannya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam, Bernama melaporkan seekor gajah dikesan berkeliaran di kawasan kuarters Klinik Kesihatan Bandar Jerantut.Dalam pada itu, Rozidan turut menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya terserempak dengan gajah liar.
"Segera laporkan kepada Perhilitan jika melihat atau mengesan haiwan liar bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil, sekali gus mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut DSP Mohd Azahari Mukhtar berkata kejadian itu hanya menyebabkan kerosakan kecil pada pagar kuarters berkenaan.
"Gajah itu pada mulanya cuba memasuki kawasan hutan di tepi klinik. Ketika ia cuba melintas, ia terpijak pinggir pagar di kawasan berkenaan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami