JERTIH: Seekor gajah jantan yang berkeliaran di beberapa kampung di sekitar Jabi dan Kota Putera di sini sejak empat hari lepas berjaya ditangkap oleh kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu petang semalam.

Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata gajah yang dianggarkan seberat dua tan itu ditangkap kira-kira pukul 4 petang di Kampung Dendong, Bukit Keluang dekat Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Tembila di sini.

"Seramai enam kakitangan Perhilitan Besut termasuk dua kakitangan Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Bukit Marak, Besut telah mengesan gajah tersebut sejak Isnin lepas selepas mendapat aduan penduduk tentang kehadiran gajah berkenaan di Kampung Oh Jabi iaitu kira-kira lebih 13 kilometer (km) daripada tempat ia ditangkap.

Gajah itu ditangkap melalui kaedah tembak pelali sebelum kakinya dirantai pada pokok yang sesuai," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Loo berkata gajah yang dianggarkan berusia 20 hingga 25 tahun dan masih mempunyai gading itu berada dalam keadaan sihat dan dijangka akan dipindahkan ke Taman Negara, Hulu Terengganu, Ahad ini.

Semalam, Bernama melaporkan seekor gajah yang tersesat dari Hutan Simpan Hulu Besut telah memasuki beberapa buah kampung sehingga lebih 30km dari tempat ia mula dilihat iaitu di Kampung Berangan, Hulu Besut, minggu lepas.

Gajah itu dilaporkan telah memusnahkan dua batang pokok kelapa di Kampung Gong Layat dekat Beting Lintang selain melalui kawasan sawah padi di Kampung Gong Machang, Rabu lepas.

Kehadiran gajah di kawasan Kota Putera mengejutkan penduduk kerana rata-rata mereka tidak menyangka haiwan liar itu boleh tersesat di kawasan itu kerana terletak jauh dari hutan simpan dengan yang terdekat iaitu Hutan Simpan Gunung Tebu sejauh hampir 20km.

--BERNAMA