Polis meminta penganjur perhimpunan haram yang diadakan di luar bangunan Parlimen pada Rabu lepas tampil segera ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk memberi keterangan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Shaharuddin Abdullah berkata notis untuk mereka tampil memberi keterangan telah diserahkan oleh pegawai penyiasat hari ini.

Katanya, pegawai penyiasat telah pergi ke pejabat Bersih di Petaling Jaya hari ini namun individu yang ingin dirakam percakapan tidak berada di pejabat itu.

"Oleh itu notis telah diserahkan kepada mereka, polis perlu merakam percakapan penganjur untuk melengkapkan kertas siasatan.

Individu yang polis akan rakam percakapan ada kira-kira lima orang antaranya Pemangku Pengerusi Bersih 2.0 (Shahrul Aman Mohd Saari)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program 1 Masjid 1Polis di Masjid Jamek Kampung Baru di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negata Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya akan mengambil tindakan mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 terhadap mereka yang terlibat dalam perhimpunan di luar bangunan Parlimen itu.

Mengenai program 1Polis 1Masjid, Shaharuddin berkata seramai 36 pegawai dan anggota polis dilantik sebagai pegawai perhubungan masjid yang ditugaskan di sembilan buah masjid di daerah Dang Wangi.

Antara masjid itu ialah Masjid India, Masjid Bukit Aman, Masjid Jamek Kampung Baru dan Masjid Negara.

"Mereka (pegawai polis) akan menjadi pemudah cara bagi menasihatkan anggota kariah mengenai sebarang kegiatan terutama melibatkan kes jenayah yang berlaku di kawasan masjid dan sekitarnya.

"Program ini juga dapat meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap polis selain mempertingkatkan mutu perkhidmatan polis," katanya.

Beliau berkata program kerjasama dengan Jabatan Agama Islam serta jawatankuasa masjid ini diharapkan dapat mengurangkan kadar jenayah di persekitaran masjid di samping mewujudkan persekitaran yang selamat.-- BERNAMA