KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sabah dan agensi berkaitan disaran memperincikan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan projek infrastruktur di negeri itu khususnya di bawah RM50 juta yang diluluskan tanpa perlu melalui Kerajaan Persekutuan.

Penganalisis politik, Prof Ahmad Marthada Mohamad berkata, SOP tersebut bagi mengelakkan masalah yang boleh menjejaskan pelaksanaan projek, khususnya membabitkan keupayaan kewangan syarikat-syarikat yang berjaya mendapatkan tender.

Jelasnya, perolehan projek melalui tender terbuka juga dapat mengelakkan ketirisan dan pembaziran.

"Sudah tentu sistem tender terbuka boleh mengurangkan masalah tersebut dan seterusnya apabila tender itu telah dikeluarkan kepada syarikat yang berkemampuan, maka terpulanglah kepada agensi-agensi kerajaan terutamanya Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memantau.

"Proses itu memastikan projek-projek ini dapat disiapkan bukan sahaja berdasarkan peruntukan yang telah diberikan, tetapi lebih utama disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan," katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ahmad Marthada berkata, beberapa isu yang sering berlaku ialah sesuatu projek tidak dapat disiapkan mengikut tempoh dan peningkatan kos yang membebankan kerajaan.

Tambahnya, kelulusan terus oleh kerajaan negeri untuk melaksanakan projek di bawah RM50 juta mampu mengekang kartel-kartel tertentu didakwa memonopoli projek di peringkat Persekutuan sebelum ini.

"Apabila ada kuasa yang diberikan terus kepada kerajaan negeri terutama projek di bawah RM50 juta, maka ia mudah untuk dilakukan dan dalam masa sama kerajaan negeri dengan kerjasama agensi Persekutuan boleh meneruskan proses-proses dan prosedur yang sebelum ini telah dilakukan.

"Cuma, perlu dipastikan sebarang pembaziran dan ketirisan, salah laku penjawat awam atau pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan terutama kartel-kartel tertentu untuk memonopoli projek kerajaan, maka elemen-elemen ini perlu dielakkan daripada berlaku," ujarnya.

MA63 | Sabah, Sarawak diberi kuasa luluskan projek bawah RM50 juta

Ahmad Marthada berkata, langkah itu juga dapat mengurangkan karenah birokrasi, sekali gus mempercepatkan pembangunan di Sabah.

Pada Selasa, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu projek dengan kelulusan di bawah RM50 juta disiapkan segera.

Perdana Menteri berkata, beliau akan mengikut rapat perkembangan projek itu, selain bertanyakan perkembangannya daripada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.