TAWAU:Perintah Berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir esok, dilanjutkan sehingga 15 Jan depan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, perintah itu meliputi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan serta Beluran.

"Orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dilarang menghampiri atau berada di kawasan diisytihar antara 6 petang hingga 6 pagi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, perintah itu diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan, sekali gus menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat berada di kawasan daratan ESSZone.

"Maklumat mendedahkan, kumpulan yang menjalankan kegiatan penculikan untuk wang tebusan (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf, masih cuba menceroboh ke kawasan ini untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan," katanya lagi.

Hazani berkata, arahan itu akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot, serta menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan, dengan kehadiran pasukan keselamatan.

Katanya dalam pada itu, perintah itu juga memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah di ESSZone mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak, bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung berkenaan.

-- BERNAMA