KUALA LUMPUR: Perintah berkurung yang dilaksanakan di perairan Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Sandakan di Sabah sejak 2014, akan dijenamakan semula sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Eastern Sabah Safety Zone (ESS ZONE) Sabah.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas penilaian keselamatan menyeluruh melibatkan agensi dan Kerajaan Negeri Sabah.

"Pada 16 Julai 2014, perintah berkurung telah mula dilaksanakan di kawasan perairan Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Sandakan bagi menangani masalah pencerobohan pengganas Sulu, penculikan oleh kumpulan Kidnapping For Ransom (KFR) di kawasan pantai timur perairan Negeri Sabah.

"Mengambil kira keperluan keselamatan, perintah berkurung ini seterusnya telah diperluaskan untuk meliputi perairan Tawau, Kinabatangan serta Beluran.

"Setelah penilaian keselamatan terkini dibuat, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kerajaan Negeri Sabah dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah bersetuju untuk menjenamakan semula Perintah berkurung kepada Perintah Kawalan Pergerakan Eastern Sabah Safety Zone (ESS ZONE) Sabah.

"Perintah kawalan pergerakan ini akan melibatkan kawasan perairan sama, kecuali Tawau memandangkan statistik menunjukkan tahap ancaman yang rendah serta kawalan keselamatan di perairan daerah tersebut yang memuaskan," jelasnya.

Mengulas lanjut jelas Razarudin lagi, perintah kawalan pergerakan itu akan dikuatkuasakan bermula jam 6 petang 17 Oktober 2023.

"Berkuatkuasa 17 Oktober 2023, jam 6 petang, Perintah Kawalan Pergerakan ESS ZONE Sabah No 1 akan mula dikuatkuasakan bagi menyumbang perintah berkurung sabah no 220 yang tamat pada 17 Oktober 2023 jam 6 petang.

"Perintah kawalan pergerakan ini adalah diperlukan bagi memastikan kawasan perairan tidak diceroboh, diancam dan pelaksanaannya akan menjamin keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah di kawasan ESS ZONE.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan tahap keselamatan di Sabah kekal terkawal dan akan memastikan segala langkah diambil bagi membanteras sebarang insiden jenayah rentas sempadan, penculikan atau penyeludupan," kata Ketua Polis Negara itu lagi.