SUSULAN pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan pada Isnin dan pelaksanaannya bermula Rabu, masyarakat, khususnya yang tinggal di luar bandar pasti antara yang terjejas dalam kehidupan seharian.

Berikut adalah kesemua soalan lazim dijawab oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB):

1. Adakah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan beroperasi seperti biasa?

Selaras dengan Arahan Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, Ibu Pejabat KPLB dan semua Pejabat KPLB Negeri (PKN) ditutup mulai 18 hingga 31 Mac 2020.

2. Adakah Pusat Komuniti Desa (PKD) masih dibuka?

Operasi Pusat Komuniti Desa (PKD) ditutup kepada orang ramai mulai 18 hingga 31 Mac 2020.

3. Adakah program-program KPLB yang melibatkan perhimpunan ramai diteruskan?

Semua program KPLB yang melibatkan perhimpunan ramai ditangguhkan dan sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

4. Adakah invois tuntutan yang dikemukakan oleh pembekal bagi perkhidmatan yang telah disempurnakan akan diproses dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan?

Invois tuntutan bayaran yang telah lengkap akan diproses dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

5. Bagaimanakah kedudukan tender atau sebut harga yang telah dipelawa tetapi tarikh tutupnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan?

Tarikh tutup tender atau sebut harga telah dilanjutkan sebagaimana hebahan yang telah dibuat melalui platform pelawaan dibuat termasuk di portal KPLB.

6. Bagaimanakah kedudukan tender atau sebut harga yang telah tamat tempoh sah laku dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan?

Tarikh sah laku tender atau sebut harga telah dilanjutkan sebagaimana hebahan yang telah dibuat melalui platform pelawaan dibuat.

7. Adakah taklimat tender atau sebut harga yang dijadualkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akan diteruskan?

Taklimat tender atau sebut harga telah ditangguhkan/dibatalkan dan dijadualkan semula selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan tertakluk kepada keperluan tender/sebut harga.

MAJLIS AMANAH RAKYAT (MARA)

8. Adakah semua Institusi Pendidikan MARA ditutup?

Ya, semua Institusi Pendidikan MARA (IPMA) meliputi 53 buah MRSM, 13 cawangan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), 7 cawangan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), 231 buah GIATMARA, 10 buah Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), 14 buah Institut Kemahiran MARA (IKM), 6 buah Kolej Profesional MARA (KPM), 4 buah Kolej MARA (KM), German-Malaysian Institute (GMI), Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM) dan MARA Japan Industrial Institute (MJII) ditutup selaras dengan arahan usaha kerajaan mencegah penularan wabak Covid-19 bermula 18 hingga 31 Mac 2020.

Tarikh mula pengajian atau pulang ke IPMA adalah bermula pada 1 April 2020 atau pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

9. Bilakah sesi pengajian atau kuliah akan bermula?

Sesi pengajian dan kuliah hanya akan bermula selepas 31 Mac 2020 atau pada tarikh lain mengikut institusi masing-masing.

10. Bagaimana dengan pelajar yang sedang menjalani latihan industri?

Pelajar yang sedang mengikuti Latihan Industri atau Work Based Learning di industri ditangguhkan mulai 18-31 Mac 2020 KECUALI bagi industri penyedia perkhidmatan penting negara. Pihak industri boleh mempertimbangkan kelulusan cuti kepada pelajar atas persetujuan pihak industri yang terlibat (industri perkhidmatan penting negara).

11. Adakah semua premis perniagaan MARA perlu ditutup?

Ya, melibatkan semua kompleks perniagaan, bazar, arked, kawasan industri dan medan selera KECUALI bagi usahawan yang menjalankan perniagaan yang dibenarkan sahaja seperti pasar raya, pasar awam, kedai runcit, farmasi dan kedai serbaneka yang menjual barang keperluan harian.

12.Adakan sekatan perjalanan dikenakan kepada pelajar tajaan MARA ke luar negara atau pulang?

Ya, pelajar tajaan MARA TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI untuk ke luar negara sepanjang tempoh sekatan perjalanan. Manakala bagi pelajar yang pulang ke tanah air perlu menjalani kuarantin selama 14 hari sebagaimana yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

13. Apakah yang perlu dilakukan oleh pelajar tajaan MARA yang baru pulang dari luar negara?

Pelajar perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela selama 14 hari sebagaimana arahan Kementerian Kesihatan Malaysia. Bagi tujuan melapor diri, pelajar hanya dibenarkan untuk melakukan demikian selepas 31 Mac dan setelah selesai tempoh kuarantin.

14. Bagaimanakah proses tuntutan dan bayaran yang telah dikemukan kepada MARA?

Bayaran tuntutan yang telah dikemukan kepada MARA dan subsidiari perlu diselesaikan dengan segera bagi mengelakkan syarikat terjejas terutama melibatkan pembayaran gaji kepada pekerja mereka. Bahagian/unit berkaitan yang menguruskan pembayaran dibenarkan untuk ke pejabat bagi menyelesaikan tugas tersebut dan pulang sebaik sahaja tugas diselesaikan.

15. Adakah operasi Pusat Pentadbiran MARA ditutup?

Operasi Pusat Pentadbiran MARA ditutup melibatkan semua pusat pentadbiran seperti Ibu Pejabat MARA, 14 buah Pejabat MARA Negeri, 117 buah Pejabat MARA Daerah serta subsidiari MARA menghentikan perkhidmatan yang melibatkan orang ramai mulai 18-31 Mac 2020. Orang ramai digalakkan melaksanakan sebarang urusan dengan MARA sama ada pembayaran, permohonan dan sebagainya melalui atas talian dengan melayari Portal MARA di www.mara.gov.my atau menghubungi MARA Call Center (MCC) di talian 03-26132000. Orang ramai juga digalakkan untuk mendapatkan maklumat terkini dengan mengikuti saluran media sosial rasmi MARA seperti berikut :

https://www.facebook.com/MajlisAmanahRakyat
https://www.instagram.com/majlisamanahrakyat
https://www.twitter.com/maragov



JABATAN KEMAJUAN MASYARAKAT (KEMAS)


16.Adakah premis Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) KEMAS di seluruh negeri beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan?

Tidak. Seluruh Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) dan Taman Asuhan KanakKanak (TASKA) KEMAS telah memberhentikan pengoperasiannya bermula 18 – 31 Mac 2020.


17.Adakah apa-apa proses penyahjangkitan COVID-19 dijalankan ke atas premis KEMAS termasuk TABIKA/TASKA KEMAS dan Pusat-pusat Latihan KEMAS?

Proses Basmi Kuman (Disinfeksi) hanya akan dilakukan sekiranya terdapat kes positif COVID-19.


18. Adakah Yuran sumbangan oleh ibubapa ke Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) KEMAS dikembalikan disebabkan oleh COVID-19?

Yuran sumbangan oleh ibubapa tidak akan dikembalikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini berkuatkuasa.


19.Adakah Peserta kursus yang sedang mengikuti Kursus Sijil Pendidikan Awal Kanak-Kanak (SPAK) selama Tiga (3 bulan) yang sedang berlangsung di Pusat-Pusat Latihan KEMAS dilanjutkan dari tarikh yang telah ditetapkan?

Tidak. Kursus Sijil Pendidikan Awal Kanak-Kanak akan ditamatkan mengikut tempoh waktu yang telah ditetapkan. Namun demikian pihak KEMAS telah menyediakan Pelan Pembelajaran Gantian yang akan dilaksanakan bagi setiap mata pelajaran yang tertinggal sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa.


20.Apakah cadangan untuk memastikan pelan pembelajaran di Akademi

Kemahiran KEMAS Seri Iskandar dan Akademi Kemahiran KEMAS Gopeng yang sedang mengikuti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tidak ketinggalan berdasarkan silibus pembelajaran yang telah dirancang?

Pelatih Akademi Kemahiran KEMAS di Seri Iskandar dan Gopeng telah diberikan tugasan oleh Tenaga Pengajar berdasarkan standard pembelajaran yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia dalam bidang Pembuatan Pakaian Lelaki dan Wanita, Pentadbiran Fesyen Dan Pakaian serta Bidang Penyediaan dan Pembuatan Makanan.

Pelatih juga dikehendaki untuk mengemaskini portfolio pembelajaran dengan merujuk kepada tenaga pengajar akademik masing–masing.


21.Apakah pilihan yang ada kepada pengusaha atau usahawan QUICKWIN KEMAS meneruskan perusahaan mereka dari terjejas akibat daripada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa?

Mereka boleh menggunakan kemudahan perniagaan atas talian (On-line) ataupun menggunakan perkhidmatan penghantaran yang ada di pasaran masa kini.