Semua perkhidmatan Talian Kasih 15999 beroperasi semula, menurut Kementerian Wanita dan Keluarga.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun menerusi satu kenyataan pada Rabu berkata Talian Kasih akan diteruskan dengan tujuan sedia ada untuk menerima aduan isu-isu wanita, keluarga dan masyarakat, khususnya menangani kejadian kecemasan berkaitan kebajikan dan kemasyarakatan.

“Talian Kasih 15999 dan Talian Whatsapp 019 2615999 akan terus beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu,” katanya dalam kenyataan tersebut.



Terdahulu, kementerian tersebut memuat naik kenyataan di laman Twitter bahawa semua perkhidmatan Talian Kasih 15999 ditutup sementara mulai Rabu (18 Mac) hingga 31 Mac ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan untuk membendung penularan wabak COVID-19.

Menurut kenyataan itu juga, semua urusan di Pusat Panggilan Talian kasih akan beroperasi semula pada 1 April depan.

Biarpun tweet berhubung penutupan Talian Kasih itu dipadam selepas dimuatnaik untuk sekitar satu jam, tweet tersebut menerima kritikan daripada rata-rata netizen dan tidak kurang juga daripada Ahli- ahli Parlimen kerana perkhidmatan dalam talian dianggap sebagai perkhidmatan wajib (essential).

Antaranya, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang menggesa supaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Menteri Wanita dan Keluarga supaya mengkaji semula keputusan untuk menutup Talian Kasih buat sementara waktu.



Sementara itu, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan juga berkata perkhidmatan Talian Kasih merupakan perkhidmatan yang penting dan tidak sepatutnya dihentikan semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

"Hanya kerana semua diminta untuk duduk di rumah tidak bermakna mereka tidak lagi mempunyai masalah, atau tiada kanak-kanak yang hilang atau didera.

"Malah, dalam keadaan rakyat diminta untuk duduk di rumah pada waktu yang panjang, Talian Kasih ini boleh menjadi lebih penting bagi mereka yang mempunyai masalah atau mengalami kemurungan," kata Dr Wan Azizah.

Selain itu, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said meminta penjelasan daripada Rina mengenai penutupan sementara talian tersebut.



Talian khusus untuk pertanyaan dan aduan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan

Dalam perkembangan yang berkaitan, Rina berkata kerajaan memutuskan supaya satu talian khusus telah ditetapkan untuk sebarang pertanyaan dan aduan berhubung sebarang isu berbangkit berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan lanjutan daripada penularan wabak COVID-19.

“Talian yang diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara ini adalah 03-88882010,” katanya.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini bagi membendung penularan wabak COVID-19.