Perjalanan feri Kuala Kedah ke Langkawi ditambah

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 10, 2021 12:55 MYT
Perkhidmatan feri dari Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah ke Langkawi akan ditambah bermula Sabtu ini.
ALOR SETAR: Perkhidmatan feri dari Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah ke Langkawi akan ditambah bermula Sabtu ini.
Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom, berkata jadual perjalanan itu ditambah susulan pengumuman kerajaan bahawa kebenaran aktiviti rentas negeri bagi golongan lengkap vaksinasi dibenarkan bermula 11 Oktober.
Beliau berkata, buat masa ini laluan dari Kuala Kedah masih kekal satu trip dan perjalanan dari Kuala Perlis ke Langkawi turut kekal dua trip sehari ketika ini.
"Kita akan menambah trip bagi laluan Kuala Kedah ke Langkawi bermula 16 Oktober ini disebabkan faktor air pasang surut yang berlaku ketika ini.
"Alur pelayaran Kuala Kedah dan Kuala Perlis buat masa ini kembali diliputi oleh lumpur dan saya harap kerja-kerja mendalamkan alur pelayaran ini dapat dilakukan secepat mungkin," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.
BACA: Akhirnya! 11 Okt dah boleh rentas negeri
Baharin berkata, pihaknya masih mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) untuk masuk ke Langkawi dimana semua pelancong diwajibkan menjalani ujian saringan pengesanan COVID-19.
“Ujian saringan RT-PCR atau RTK-Antigen perlu dilakukan di mana-mana fasiliti kesihatan serta makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas masih dikekalkan atau sebaliknya.
“Ini berikutan pergerakan negeri sudah dibenarkan mulai esok dan ramai pelancong dijangka memilih untuk melancong ke Langkawi untuk bercuti,” ujarnya.
#perkhidmatan feri #Kuala Kedah #Langkawi #Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd #Kapten Baharin Baharom #pelancongan