Perjanjian Damai KL: Trump puji Malaysia dan Anwar di pentas APEC

Berucap pada Sidang Kemuncak CEO APEC di Gyeongju, Trump memuji peranan Malaysia sebagai pihak berkecuali yang menjadi pengantara. - Bernama
GYEONGJU: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memuji kepimpinan Malaysia di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kejayaan memeterai Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand pada Ahad lalu.
Berucap pada Sidang Kemuncak CEO APEC di sini hari ini, Trump menyifatkan konflik sempadan antara kedua-dua negara ASEAN itu sebagai “terlalu panas, dengan peluru berterbangan di merata tempat”, sebelum memuji peranan Malaysia sebagai pihak berkecuali yang menjadi pengantara.
“Selepas kira-kira dua hari, kami berjaya menyelesaikannya dengan bantuan Malaysia. Malaysia bertindak sebagai pengantara. Kami gunakan fasiliti yang sangat indah di Malaysia.
“Malaysia sangat hebat dan sangat membantu dalam pelaksanaan perjanjian itu. Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) seorang yang hebat, saya baru sahaja bertemu beliau.
“Dalam masa dua hari, kami tandatangani perjanjian itu. Kedua-dua pemimpin (Thailand dan Kemboja) hadir seperti sahabat karib. Ia satu yang sangat indah. Kami telah menyelamatkan jutaan nyawa,” tambah Trump.
Perjanjian Damai Kuala Lumpur dimeterai di luar Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan sidang berkaitan yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Ahad lalu.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dengan Trump dan Anwar bertindak sebagai saksi.
Trump kini berada di penghujung lawatan beliau ke Asia selepas mengunjungi Malaysia dan Jepun.
Beliau dijadualkan bertemu Presiden China, Xi Jinping pada Khamis dengan isu tarif perdagangan dijangka menjadi tumpuan menjelang Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) yang akan bermula Jumaat ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


