Skip to main content

Dunia

Demokrasi Asia perlu berdikari, kurangkan kebergantungan kepada pihak luar - Penganalisis

[TB]_PANEL TIGER SHOW_The Tiger Show Podcast
Dari kiri, hos Amin Iskandar bersama James Gomez, Pandit Chanrochanakit dan Jenny Sari Winata dalam episod khas The Tiger Show Podcast yang dirakam di Seoul, Korea Selatan. - Gambar Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Perkembangan demokrasi di rantau Asia memerlukan pendekatan yang lebih mampan dan inklusif bagi memastikan terus berdaya tahan dalam menghadapi cabaran politik, sosial dan ekonomi semasa.

Pengarah Serantau Asia Centre, James Gomez menegaskan usaha memperkasa demokrasi di Asia perlu disokong oleh sumber dan inisiatif warga tempatan supaya dapat mengurangkan kebergantungan pihak luar.

Jelasnya, kebergantungan berterusan terhadap bantuan kewangan dan geran antarabangsa dilihat telah membentuk mentaliti terlalu bergantung kepada pihak luar bagi mendapatkan sumber serta sokongan untuk meneruskan gerak kerja mereka.

"Kita perlu mempunyai maruah dan keyakinan diri. Kita perlu melangkaui kebergantungan tersebut dengan mencari sumber serta sokongan daripada negara dan rakyat kita sendiri," kata Gomez.

Beliau berkata demikian ketika tampil sebagai panel dalam episod khas audio siar The Tiger Show Podcast bertajuk Democracy in Asia: Memory, Youth, and Democratic Resilience yang dirakam di Seoul, Korea Selatan dan disiarkan Astro AWANI hari ini.

Tambahnya, sektor perniagaan dan golongan dermawan juga harus digalakkan untuk menyokong inisiatif berkaitan demokrasi dan hak asasi manusia.

"Kita juga perlu menggalakkan budaya filantropi yang melangkaui sumbangan kepada kebajikan, institusi keagamaan dan rumah anak yatim.

“Sebaliknya, sektor perniagaan serta keluarga berkemampuan perlu turut menyokong inisiatif yang memperjuangkan demokrasi dan hak asasi manusia,” kata Gomez.

Untuk rekod, pembiayaan asing kepada organisasi masyarakat sivil dan kumpulan berkaitan demokrasi bukanlah perkara baharu di Asia.

Pada 2024, National Endowment for Democracy (NED) menyalurkan lebih AS$286 juta (kira-kira RM1.2 bilion) menerusi lebih 1,900 geran di 91 negara bagi menyokong inisiatif demokrasi, hak asasi manusia dan media bebas.

Kerjasama Serantau

Sementara itu, Pensyarah Universiti Chulalongkorn, Pandit Chanrochanakit menegaskan kerjasama serantau serta penglibatan aktif generasi muda amat penting dalam usaha memperkukuh amalan demokrasi.

“Kita memerlukan lebih banyak kerjasama bagi memperkasa generasi muda supaya mereka mampu memainkan peranan yang lebih besar dalam memperjuangkan demokrasi, keadilan dan kesaksamaan,” kata Chanrochanakit.

Penglibatan anak muda

Seorang lagi panel, Pengurus Program dan Penyelidikan Foreign Policy Community of Indonesia (FPCI), Jenny Sari Winata berpandangan, generasi muda bukan sahaja perlu diberi ruang untuk menyumbang, malah harus diberikan peluang yang lebih luas untuk terlibat dalam pembangunan masyarakat dan negara.

Menurut Winata, usaha memperkasakan generasi muda akan terus berdepan halangan sekiranya golongan terdahulu tidak bersedia memberikan kepercayaan, sokongan dan ruang yang lebih besar kepada mereka.

“Masih terdapat ruang dalam masyarakat sivil yang boleh kami isi melalui pelbagai inisiatif, pendekatan kreatif dan penggunaan teknologi bagi memperluaskan impak usaha kami. 

“Namun pada akhirnya, kuasa, pengaruh dan autoriti perlu dikongsi secara lebih tulen dan bermakna dengan generasi muda,” kata Winata.

Data daripada resolusi Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) menunjukkan ahli parlimen muda hanya membentuk 21.18 peratus daripada keseluruhan Ahli Parlimen di rantau ASEAN.

Pada peringkat global pula, laporan Inter-Parliamentary Union (IPU) menunjukkan hanya 2.8 peratus ahli parlimen di seluruh dunia berusia bawah 30 tahun, manakala sekitar 17.5 peratus berusia bawah 40 tahun.

Must Watch Video

Advertisement