NATIONAL
Perjanjian PM Defence-DASAL beri ruang Malaysia hasilkan dron terbukti di medan tempur

Panglima Angkatan Tentera Jen Datuk Mohd Nizam Jaffar menerima penerangan daripada Bastien semasa kunjungan ke reruai PMD, baru-baru ini. - Foto/ PMD
KUALA LUMPUR: Perjanjian strategik pemindahan teknologi antara syarikat DASAL Havacilik Teknolojileri A.S. dari Turki dan PM Defence Sdn Bhd (PMD), memberi peluang untuk Malaysia menghasilkan dron yang terbukti di medan pertempuran dan perang.
Pengerusi PMD, Datuk Bastien Onn berkata, perjanjian tersebut juga dijangka membuka peluang untuk negara menginovasikan dron pertahanan dan tempur yang mempunyai nilai kebolehpasaran, bersama universiti-universiti tempatan.
BACA: LIMA'25: PM Defence, DASAL meterai perjanjian pindah teknologi dron
"Malah ini merupakan hasrat Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mahu adanya usaha sama dengan universiti-universiti tempatan semasa pertemuan dengan syarikat-syarikat dari Turki.
"Beliau sangat yakin dengan keupayaan daya fikir negara," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Bastien menambah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merupakan universiti pertama yang menjemput pihaknya untuk mengadakan pertemuan.
Jelas beliau, ia sekali gus menunjukkan institusi pendidikan itu yakin dan teruja dengan peluang tersebut.
"Ini membuktikan bahawa kecerdasan buatan (AI) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bergerak seiring dalam memastikan keupayaan daya fikir dan bidang penghasilan teknologi tinggi dalam industri dron negara," kata Bastien.
Menurut beliau, penghasilan dron tempatan yang terbukti di medan tempur dan perang memberi akses yang diperlukan kepada keupayaan pertahanan dan keselamatan negara dalam penggunaan teknologi dron.
DASAL merupakan sebuah syarikat pertahanan yang pakar dalam pembangunan sistem dron pelbagai guna yang telah terbukti keberkesanannya di medan perang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami