PUTRAJAYA: Pemeteraian Triti Selat Melaka dan Triti Laut Sulawesi antara Malaysia dengan Indonesia berhubung Persempadanan Laut Wilayah Kedua-dua negara mengambil kira nasihat dan pandangan pakar-pakar maritim negara.

Menurut Kementerian Luar Negeri (KLN), rundingan mengenai perbatasan laut wilayah di wilayah paling Selatan Selat Melaka dan Laut Wilayah di Laut Sulawesi itu berlangsung selama 18 tahun yang melibatkan aspek-aspek teknikal, perundangan, ekonomi dan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara

Dalam satu kenyataan KLN pada Selasa, ia sekali gus menangkis dakwaan dan persepsi salah mengenai kedua-dua triti itu sebelum ini walaupun sudah dijelaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Tambah KLN, pemeteraian berkenaan dengan mengambil kira pandangan pakar maritim negara yang diterajui KLN, dan dianggotai agensi-agensi teras iaitu Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Peguam Negara (AGC), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Pusat Hidrografi Nasional (PHN).

Ia turut dipersetujui dengan mengambil kira elemen-elemen penyelesaian yang dapat dicapai secara bersama menggunakan prinsip-prinsip pembatasan sempadan maritim.

Kata KLN, apabila triti-triti tersebut mula berkuat kuasa, ia akan memberikan kejelasan dari segi kedaulatan dan bidang kuasa yang membolehkan kedua-dua negara menjalankan aktiviti penguatkuasaan undang-undang di kawasan maritim masingmasing secara lebih berkesan.

Ini termasuk aktiviti pencegahan jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan barangan dan pemerdagangan manusia.

Di samping itu, aktiviti-aktiviti ekonomi dan pembangunan seperti perikanan dan eksplorasi dan eksploitasi sumber marin dalam zon laut wilayah dapat dilakukan dengan lebih teratur dan lebih terjamin.

Menurut KLN lagi, kerajaan tidak pernah dan tidak akan mengambil ringan dalam membuat keputusan yang melibatkan isu kedaulatan Malaysia termasuk isu berhubung persempadanan maritim negara.