MALAYSIA
Perjanjian TAC: Penyertaan Uruguay, Algeria lebarkan hubungan ASEAN dengan Amerika Latin dan Afrika

Mohamad berkata, sejak pengenalan TAC pada 1976, ia merupakan asas penting untuk hubungan antara negara yang aman di rantau ini. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Penyertaan dua lagi negara, iaitu Uruguay dan Algeria dalam Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), bakal membuka lembaran kerjasama baharu dan kefahaman lebih mendalam di antara ASEAN dan kedua-dua benua Amerika Latin dan Afrika.
Ringkasan AI
- Algeria dan Uruguay rasmi sertai Perjanjian TAC ASEAN, menjadikan jumlah penandatangan meningkat kepada 57 negara, sekali gus memperkukuh hubungan ASEAN dengan Afrika Utara dan Amerika Latin.
- Penyertaan ini disifatkan sebagai detik bersejarah, mencerminkan komitmen kedua-dua negara terhadap prinsip keamanan, kerjasama dan penghormatan terhadap kedaulatan serta undang-undang antarabangsa.
- Menteri Luar Algeria dan Uruguay menekankan potensi kerjasama Global Selatan, dengan TAC sebagai platform untuk memperkukuh integrasi, pelaburan dan pembangunan mampan antara rantau.
“Kita perlu ingat bahawa kerjasama ASEAN secara konsisten berkembang merentasi benua, mengukuhkan kedudukannya sebagai organisasi serantau yang utuh, yang sentiasa berdialog dengan rakan.
“Hari ini ASEAN mengukuhkan lagi hubungannya dengan Afrika Utara dan Amerika Latin, dua rantau yang berkongsi aspirasi untuk keamanan, kemakmuran, dan pembangunan mampan,” katanya lagi.
Mohamad berkata demikian sewaktu berucap di Majlis Penandatanganan Instrumen Penyertaan kepada Perjanjian Perdamaian dan Kerjasama di Asia Tenggara oleh Algeria dan Uruguay di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur, pada Rabu.
TAC yang ditubuhkan pada 1976 berfungsi sebagai kod etika dalam hubungan antara negara rantau ini dan seterusnya, merangkumi prinsip universal kewujudan bersama secara aman, dan kerjasama dalam kalangan negara peserta.
Dengan kemasukan Algeria dan Uruguay, perjanjian itu telah ditandatangani 57 negara termasuk Amerika Syarikat, China, Kesatuan Eropah dan India.
Bercakap kepada pemberita, Menteri Hal Ehwal Luar dan Komuniti Kebangsaan di Luar Negara Algeria, Ahmed Attaf berkata, penyertaan mereka ke TAC bakal menambah dimensi baharu kepada hubungan dua hala yang sedia kukuh.
"ASEAN telah berjaya menawarkan kepada dunia satu model, satu contoh kerjasama yang kukuh dan integrasi yang tulen. Dengan rendah hati, kami ingin belajar daripada ASEAN bagaimana untuk memastikan kejayaan ini dapat ditiru di rantau kami masing-masing.
"Dan ketiga, kita sedang melalui masa yang sukar di peringkat antarabangsa dan global. Kami percaya bahawa gerakan seperti ini, yang berskala besar, dapat membantu menstabilkan susunan dunia berasaskan kedaulatan undang-undang, penghormatan terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan yang paling penting, penghormatan terhadap kepentingan bersama. Inilah semangat ASEAN," katanya lagi.
Sementara itu, Menteri Luar Uruguay, Mario Lubetkin berkata, Global Selatan semakin berkembang dengan pelaburan dan projek berskala besar, sekali gus membuktikan kekuatan kapasiti dan kewangan rantau tersebut.
“Bayangkan apa yang boleh berlaku jika kita bekerjasama dengan lebih baik. Bagaimana kita boleh memanfaatkan semua sumber ini dan kecerdasan kita? Kerana kita dari Selatan, kita sangat bijak dan memiliki pengetahuan yang mendalam. Inilah titik tolak di mana kita perlu mencipta senario yang lebih baik.
“Melalui penyertaan dalam Perjanjian TAC bersama ASEAN, ia menjadi permulaan kepada satu platform. Ia adalah mesej yang kita sampaikan kepada dunia — dan juga kepada rantau kita sendiri — bahawa kita perlu mengubah tingkah laku kita. Kita perlu mengubah cara kita berfikir dan bekerjasama,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami