MALAYSIA
Perjanjian UM-UTokyo perkukuh hubungan Malaysia-Jepun dalam pendidikan tinggi

Kerjasama ini sejajar dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan Jepun yang semakin menonjol sebagai peneraju serantau. - Foto Universiti Malaya
KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) dan University of Tokyo (UTokyo) telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersejarah yang bakal memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan, inovasi, serta pembangunan bakat global.
Perjanjian ini bukan sahaja melonjakkan kedudukan UM sebagai peneraju akademik serantau, malah menyumbang secara langsung kepada pengukuhan hubungan Malaysia–Jepun dan integrasi pendidikan tinggi ASEAN–Jepun.
Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, kerjasama itu memberi tumpuan kepada bidang strategik masa hadapan seperti ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), robotik, peralihan tenaga hijau, keselamatan makanan, rantaian bekalan, dan inovasi semikonduktor.
Antara komponen utama yang dipersetujui termasuk program pascasiswazah bersama, inisiatif mobiliti pelajar, serta projek penyelidikan kolaboratif yang bakal menerima geran padanan sehingga AS$100,000.“Gabungan kekuatan University of Tokyo dalam sains dan teknologi serta kepakaran UM dalam transformasi digital dan pembangunan mampan menjadikan inisiatif ini sangat strategik.
"Ia bukan sekadar perkongsian akademik, tetapi suatu pelaburan masa depan yang akan memanfaatkan pelajar, penyelidik, industri dan negara," katanya.
Beliau berkata demikian selepas pertemuan bersama Presiden University of Tokyo, Profesor Fujii Teruo, di Tokyo pada Khamis.
Dr Noor Azuan menjelaskan, sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut, kedua-dua universiti akan menubuhkan pusat kolaboratif untuk penglibatan dasar serantau.
"Kerjasama ini turut mendapat penglibatan daripada Yayasan UaiTED, yang bertindak sebagai penghubung antara sektor akademik dan industri.
"Yayasan ini berperanan dalam kemahiran global serta membina kerjasama tiga sektor antara UM, University of Tokyo dan pihak industri.
Kerjasama ini sejajar dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan Jepun yang semakin menonjol sebagai peneraju serantau.
Beliau menyifatkan MoU berkenaan sebagai model terbaik berasaskan inovasi dan ketahanan serantau.
“MoU ini mencerminkan keyakinan bahawa masa depan Asia akan dibentuk melalui bilik kuliah, makmal, dan kerjasama rentas negara. Kita sedang menyemai benih untuk impak jangka panjang,” ujarnya.
Perjanjian ini sekali gus memperkukuh kedudukan UM di persada antarabangsa sebagai universiti berimpak tinggi, khususnya dalam menjalin kerjasama akademik dengan institusi terkemuka dunia dan memacu pembangunan rantau ASEAN serta Selatan Global.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami