Allahyarham Azli Paat sering dikaitkan dengan peralihan alat peranti serta perkembangan gajet terkini semenjak pemergiannya ke hadrat ilahi, namun perjuangan sebenarnya adalah lebih meluas antaranya bantuan dana menerusi teknologi bagi bumi Palestin.



Azli pernah juga dijemput menerusi Debat Awani membincangkan topik bertajuk 'Demi perjuangan Palestin: Kepelbagaian pendekatan dalam masyarakat wajar dijana' pada 2 Disember 2012.

Menurutnya, jika duhulu masyarakat hanya boleh mendapatkan maklumat berkaliber menerusi media massa dan arus perdana, kini lebih ramai yang mempercayai sumber didapati menerusi internet dan media sosial.

“Sebelum media sosial berkembang, kebanyakkan rakyat akan hanya mendapat maklumat daripada media ataupun akhbar-akhbar yang biasanya dikawal oleh mereka-mereka yang berkepentingan.”

“Apabila media sosial ini menjadi begitu meluas, apa-apa saja maklumat yang berlaku di Palestin akan terus dirasakan kepada para pembaca, menerusi video dan sebagainya pada kadar segera,” kata Azli.

Bagaimanapun, langkah berjaga perlu diambil kira kerana teknologi mampu menghancurkan dan pada masa sama menjadi pemangkin terutamanya demi perjuangan membantu rakyat di bumi Palestin.

Menurutnya, teknologi dapat membantu rakyat Palestin dalam pengumpulan dana yang berkesan berbanding cara fizikal dengan memasukkan duit ke dalam tabung.

“Pelbagai cara yang lebih berkesan boleh dilakukan contohnya menggunakan Paypal derma kepada rakyat di Palestin, menggunakan kad kredit mahupun apa-apa cara yang teknologi dapat membantu,” ujarnya.

Beliau berpendapat, teknologi sangat berkesan untuk membantu daripada segi dana dan bantuan kepada rakyat-rakyat di Palestin dalam menyokong pengembalian tanah air mereka daripada pegangan rejim Zionis Israel.