Perkahwinan bawah umur tiada tempat di Malaysia - Zuraida

Sinar Harian
Jun 30, 2018 22:20 MYT
Zuraida menyeru pihak berkuasa di Malaysia terutama Mahkamah Syariah dan Jabatan Agama berkaitan untuk tidak mengiktiraf perkahwinan antara lelaki 41 tahun dan kanak-kanak 11 tahun itu. - Gambar fail
Perkahwinan bawah umur wajar dihentikan serta-merta kerana amalan itu tiada tempat di Malaysia.
Ketua Wanita Pakatan Harapan, Zuraida Kamaruddin berkata ini kerana kanak-kanak di Malaysia perlu diberi pembelaan sewajarnya.
“Kanak-kanak di Malaysia perlu diberi pembelaan sewajarnya. Mereka adalah masa hadapan negara ini.
“Amalan perkahwinan bawah umur ini mesti dihentikan segera,” katanya melalui satu kenyataan media.
Beliau berkata demikian ketika mengulas seorang lelaki berumur 41 tahun menikahi seorang kanak-kanak bawah umur, 11 tahun, baru-baru ini.
Selaras dengan manifesto kerajaan, beliau berkata, Pakatan Harapan akan menggubal undang-undang untuk menetapkan umur 18 tahun sebagai had umur minimum perkahwinan.
“Wanita Pakatan Harapan akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan nasib anak ini dibela sewajarnya,” katanya.
BACA: Isu kahwin budak 11 tahun: JAHEAIK belum terima laporan
BACA: Kerajaan siasat kes kahwin bawah umur di Gua Musang - TPM
Beliau juga menyeru pihak berkuasa di Malaysia terutama Mahkamah Syariah dan Jabatan Agama berkaitan untuk tidak mengiktiraf perkahwinan ini.
“Tindakan perlu diambil ke atas lelaki dan kedua ibu bapa kanak-kanak yang membenarkan perkara ini untuk berlaku,” katanya.
BACA: Isteri terkilan suami kahwini kanak-kanak 11 tahun
BACA: 'Saya ikat sahaja, belum tinggal bersama'
#bawah umur #jabatan agama #kerajaan #mahkamah syariah #Manifesto #Pakatan Harapan #Pembelaan #perkahwinan #syariah #wanita #Zuraida Kamaruddin