Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata perkara terbaik yang dilakukannya semasa menjadi perdana menteri ialah memastikan Malaysia tidak dilanda konflik perkauman.

Katanya, meskipun terdapat komen negatif daripada para esktremis, tetapi majoriti besar rakyat pada ketika itu hidup aman dan damai.

"Saya rasa perkara terbaik yang saya lakukan pada waktu saya (mentadbir) ialah tidak ada konflik perkauman," katanya pada sesi soal jawab forum WYSK (What Youth Should Know) di Cyberjaya pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya oleh seorang hadirin tentang apakah kesilapan besar yang dilakukan beliau semasa memegang jawatan perdana menteri.

Dr Mahathir bagaimanapun berkata beliau tidak dapat memikir tentang apakah kesilapan yang telah beliau lakukan, namun menafikan bahawa meletakkan jawatan merupakan salah satu daripada kesilapan tersebut.

Jelasnya, meletakkan jawatan sebagai perdana menteri bukanlah satu kesilapan bagi dirinya, meskipun beliau tidak menyedari tentang 'kesilapan' yang bakal dilakukan oleh penggantinya.

"Saya tidak mahu kembali (memerintah)... 22 tahun sudah cukup untuk saya, dan meletakkan jawatan bukanlah satu kesilapan," kata Dr Mahathir.

Beliau juga menolak tuduhan sesetengah pihak yang menganggap beliau sebagai seorang autoritarian.

Kata Dr Mahathir, sekiranya beliau memang seorang autoritarian seperti yang didakwa, beliau tidak akan meletak jawatan sebagai perdana menteri.

"Saya telah dituduh sebagai autoritarian... saya bukan. Jika saya seorang autoritarian, saya tidak akan letak jawatan.

"Saya telah menikmati hidup (semasa menjadi perdana menteri), terbang ke sana sini... dan semua dibiayai oleh kerajaan," kata Dr Mahathir dalam forum WYSK di Cyberjaya pada Sabtu.

Beliau mengulas tentang perbandingan beliau dengan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kwan Yew yang terus memegang jawatan sebagai menteri kanan Singapura selepas meletakkan jawatan dan kemudiannya menjadi menteri mentor Singapura.