KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memaklumkan perincian mengenai zon aktiviti aeroangkasa akan dibincangkan dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Selangor memandangkan pengezonan kawasan tertakluk di bawah kuasa kerajaan negeri.

Selain itu, Menteri Kanannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata insentif-insentif lain bagi memperkasakan industri tersebut sedang dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan.

Jelas beliau, industri aeroangkasa dikenal pasti sebagai industri strategik, berimpak tinggi dan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara, sejajar dengan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.

"Syarikat aeroangkasa Malaysia terus mendapat perhatian daripada pemain industri aeroangkasa global.

"Pada 12 Julai 2021 yang lalu, syarikat Sapura Technics Sdn. Bhd. telah memeterai Heads of Agreement (HOA) bersama syarikat Turki, Turkish Technic, bagi kerjasama strategik untuk operasi MRO di Lapangan Terbang Senai, Johor Bahru.

"Sebagai permulaan, kedua-dua syarikat tersebut akan menumpukan perhatian pada narrow body aircrafts dan akan beralih ke pesawat lebih besar pada masa hadapan," katanya ketika sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, RMK12 telah menggariskan strategi industri aeroangkasa dengan memberikan tumpuan kepada transformasi supaya lebih berdaya maju di peringkat global.

Selain itu, katanya inisiatif tersebut akan dilaksanakan merangkumi pembangunan ekosistem kondusif, membangunkan keupayaan melalui pewujudan kluster dan zon aktiviti aeroangkasa di kawasan ekonomi terpilih.

Mohamed Azmin menambah lagi, ia mengambil kira kewujudan sektor sokongan lain seperti elektronik, automotif, mesin dan peralatan, sistem digital aeroangkasa serta penggunaan sumber tenaga yang mampan.

"Pembangunan industri aeroangkasa akan memberi tumpuan kepada empat sub-sektor iaitu penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pembuatan aeroangkasa, integrasi sistem dan perkhidmatan kejuruteraan dan reka bentuk.

"Sasaran bagi industri aeroangkasa yang ditetapkan dalam RMK12 adalah untuk mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan dan mencapai pendapatan sebanyak RM30 bilion menjelang tahun 2025.

"Di bawah RMK12, pembangunan kluster industri aeroangkasa di Selangor akan ditumpukan kepada bidang MRO, pembuatan dan pemasangan aeroangkasa, manakala Pulau Pinang pula tertumpu kepada pembangunan integrasi sistem dan perkhidmatan kejuruteraan," katanya.