Semua agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana diminta supaya memperkemaskan lagi sistem amaran awal bagi memastikan tahap kesiapsiagaan dapat ditingkatkan setiap kali menghadapi sebarang bencana.
Itu jelas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dimana sistem yang lebih pantas dan berkesan dalam mengesan bencana sangat penting bagi memastikan maklumat segera sampai kepada semua pihak agar persediaan dapat dilakukan secukupnya.
"Mengambil kesempatan untuk memberi saranan kepada agensi-agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana dapat memperkemaskan lagi sistem amaran awal.

"Walaupun MET dah keluarkan amaran, namun saya diberitahu bahawa bot yang keluar itu masa dia keluar tu memang nyaman dan tidak apa-apa dan amaran ribut itu dikeluarkan lepas itu, mereka sudah ada di laut kan," katanya selepas menziarahi kediaman keluarga Marziah Che Omar, 27, yang meninggal dunia dalam kemalangan semasa kejadian ribut Lekima pada 9 Ogos lepas di Taman Bersatu dekat sini pada Sabtu.
Dalam pada itu Wan Azizah juga turut meluangkan masa meninjau keadaan rumah dan menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada seorang penduduk, Saad Doon, 61, di Kampung Alor Batu, Mukim Gelong dekat sini yang kediamannya terjejas teruk akibat ribut sama.
Sementara itu, menurut Wan Azizah mesyuarat Kabinet pada 14 Ogos lepas juga bersetuju menyalurkan peruntukan RM17.025 juta melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara bagi membantu mangsa terjejas akibat ribut berkenaan.
"Peruntukan ini akan digunakan untuk membiayai perolehan sama ada barangan atau perkhidmatan yang berkaitan dengan kerja baik pulih kediaman mengikut penilaian kerosakan yang telah dilakukan oleh JKM.

"Terima kasih kepada JKM, daripada kementerian KKWKM yang telah membuatkan penilaian disamping itu peruntukan tersebut digunakan untuk memberi wang ihsan diantara RM200 hingga RM500 mengikut tahap kerosakan kediaman mangsa," katanya lagi.
Dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang akibat Taufan Lekima itu, tujuh negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Terengganu dan Pahang terlibat, mengakibatkan banyak kejadian pokok tumbang dan bumbung diterbangkan, selain kerosakan fizikal terhadap kemudahan awam dan menjejaskan lalu lintas.
Di Kedah, 2,325 rumah dan lebih 70 sekolah termasuk kuarters guru terkesan manakala dua nyawa terkorban.