SEREMBAN: Institusi pengajian awam dan swasta disaran melaksanakan program pasport keselamatan agar para pelajar mereka lebih berdaya saing dan bersedia untuk menyertai tempat kerja yang mempunyai risiko tinggi.

Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata, institusi terbabit boleh mengadakan kolaborasi strategik dengan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) untuk melaksanakan program pasport keselamatan di dalam kampus sebelum pelajar tamat pengajian.

"Sesetengah tempat kerja yang berisiko menetapkan pelbagai syarat seperti keperluan mendapatkan pasport keselamatan.

"Jika program seperti ini dijalankan di kolej awam dan swasta, para pelajar akan mendapat pengiktirafan yang diperlukan sebelum masuk ke alam pekerjaan," katanya selepas merasmikan Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Belia Seremban di Kolej Tafe Seremban di sini hari ini.

Turut hadir  pengarah eksekutif NIOSH Ayop Salleh, Senator Datuk Dr. Nelson Renganathan dan Pengurus Kolej Tafe Seremban Datuk Ibrahim Shah.

Sivakumar berkata untuk permulaan, kerajaan akan menggalakkan program tersebut dilaksanakan secara sukarela sebelum membuat kajian untuk mewajibkannya.

"Kita akan lihat sambutan terlebih dahulu dan program sebegini juga harus merangkumi industri yang mungkin kelihatan tidak merbahaya," katanya.

Beliau berkata program latihan berkaitan KKP perlu ditingkatkan kerana tahap kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan di tempat kerja masih belum memuaskan.

Terdahulu, dalam ucapannya Sivakumar berkata, program latihan dan kesedaran perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memenuhi hasrat kerajaan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan sihat, seperti yang dirancang di bawah Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 (OSHMP 25).

Menurut beliau, kerjasama strategik di antara NIOSH dengan pihak terbabit membolehkan kedua-dua pihak berkongsi kepakaran, tenaga pengajar serta kemudahan seperti makmal penyelidikan, hangar dan bilik latihan.

“Saya dimaklumkan, pihak NIOSH mempunyai ramai pakar teknikal dalam pelbagai bidang KKP selain pelbagai kemudahan yang ditawarkan di lima pejabat wilayah, 12 pejabat satelit dan 13 makmal bertaraf antarabangsa,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa hubungan harmoni antara Kerajaan Pusat dan Negeri di bawah payung perpaduan memudahkan usaha untuk melaksanakan inisiatif di bawah kerangka Ekonomi MADANI, yang merangkumi ikhtiar untuk perlindungan sosial semua rakyat, pekerjaan dengan gaji bermakna serta perkongsian kekayaan bagi membina sebuah masyarakat yang lebih saksama dan sejahtera.