KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bahawa kerajaan tidak menolak untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang telah dimansuhkan sebelum ini sebagai satu tindakan berani.

Menurut bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, akan berlaku kesan inflasi sekiranya kerajaan mahu memperkenalkan semula cukai berkenaan.

"Ketika menjadi menteri bayangan dalam pembangkang, saya sudah beri amaran kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan ramai yang bagi amaran kepada kerajaan PH, ketika mereka mansuhkan GST, mereka akan terpaksa melalui peristiwa yang sama untuk memperkenalkan GST.

"Kita kena akui bila kita perkenalkan semula GST, akan ada kesan inflasinya. Sebab setiap kali buat GST, daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang sedia ada, akan ada kesan inflasi," katanya dalam program podcast Keluar Sekejap pada Rabu.

Sementara itu, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan pula berpandangan perlu ada penerangan daripada Menteri Kabinet sekiranya mahu diwujudkan semula GST di negara ini.

Ujarnya, dari sudut politik pula, kerajaan mungkin berdepan kesan politik yang akan dimainkan oleh pembangkang seperti mana ketika Kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pemerintahan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

"Rafizi mengatakan itu satu pilihan, balik kepada penjelasan kita tadi, ini justifikasi bagaimana kerajaan boleh belanja RM15 billion dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) ini.

"Sebab dia kata tidak akan tambah pinjaman maka cukai yang terbuka untuk dibuat adalah cukai keuntungan modal dan dia tidak tolak pelaksanaan semula GST.

"Ini adalah dua kenyataan yang ada kesan besar politik, saya tidak kata Menteri Ekonomi tidak boleh buat perkara ini, ya memang patut. Tetapi kena ada penjelasan daripada Menteri Kabinet selepas ini. Jangan seperti model gaji progresif, tetapi saya tidak dengar pun Menteri Sumber Manusia bercakap," katanya.

Sebelum ini, Rafizi Ramli berkata, kerajaan tidak menolak untuk memperkenalkan semula GST yang telah dimansuhkan sebelum ini.

Jelasnya, kerajaan akan mengutamakan strategi untuk meluaskan sumber hasil negara termasuk fokus membangunkan Cukai Keuntungan Modal, yang dijadualkan dilaksanakan pada 2024.