PERKESO perkukuh perlindungan sosial melalui skim LINDUNG 24/7

Menurut PERKESO, lebih 9.6 juta pencarum aktif bakal menerima manfaat LINDUNG 24/7.
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja atau LINDUNG 24/7 oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) merupakan langkah penting bagi memperkukuh perlindungan sosial pekerja, sejajar perubahan corak kerja masa kini yang mengutamakan pendekatan hibrid dan aturan kerja anjal.
Ringkasan AI
- PERKESO laksana skim LINDUNG 24/7 untuk memberi perlindungan sosial menyeluruh kepada pekerja tempatan dan asing, termasuk kemalangan di luar waktu bekerja, bagi menutup jurang skim sedia ada.
- Lebih 9.6 juta pencarum aktif bakal menerima manfaat seperti Faedah Perubatan, Hilang Upaya, Orang Tanggungan, Elaun Layanan Sentiasa dan Faedah Pemulihan, selaras prinsip perlindungan sosial inklusif.
- Pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 akan dibentangkan di Dewan Rakyat Disember ini; skim dijangka kurangkan tekanan kewangan sistem kesihatan awam dan sejajar amalan antarabangsa.
"Melalui LINDUNG 24/7, pekerja akan menikmati jaringan keselamatan sosial secara menyeluruh, termasuk bagi kes kemalangan yang berlaku di luar waktu bekerja, berbeza dengan skim terdahulu yang hanya melibatkan insiden berkaitan pekerjaan," menurut kenyataan itu.
PERKESO menjelaskan, langkah strategik berkenaan sejajar dengan perubahan waktu dan corak kerja daripada konsep konvensional kepada pendekatan hibrid masa kini, selain menangani jurang perlindungan sosial dalam sistem sedia ada.
Menerusi pelaksanaan skim terbaharu itu, lebih 9.6 juta pencarum aktif di bawah program LINDUNG Pekerja bakal menerima manfaat, sekali gus memperkukuh jaringan keselamatan sosial pekerja di Malaysia dan meletakkannya setaraf dengan amalan antarabangsa.
"Langkah ini menandakan satu lagi transformasi penting dalam sejarah perlindungan sosial negara di bawah seliaan PERKESO, selaras dengan prinsip perlindungan sosial yang inklusif dan menyeluruh," menurut kenyataan itu.
PERKESO turut menjangka pelaksanaan LINDUNG 24/7 dapat mengurangkan tekanan kewangan terhadap sistem kesihatan awam negara memandangkan agensi itu akan menanggung pembiayaan rawatan serta pemulihan pencarum yang terlibat.
Di bawah skim ini, pekerja yang layak akan menerima pelbagai faedah termasuk Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Elaun Layanan Sentiasa (ELS), Faedah Pengurusan Mayat (FPM), Faedah Pemulihan dan Faedah Pendidikan.
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia Steven Sim ketika membentangkan bacaan kali pertama di Dewan Rakyat semalam menyifatkan skim berkenaan sebagai inisiatif penting kerajaan bagi memastikan kesejahteraan semua pekerja di Malaysia terus terpelihara.
Menurut kenyataan itu, bacaan kedua dan ketiga bagi pindaan kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Disember tahun ini untuk dibahaskan.
LINDUNG merupakan penjenamaan semula skim perlindungan keselamatan sosial PERKESO yang dilancarkan pada 22 Ogos 2025, sebagai langkah strategik memperkukuh peranan agensi itu dalam melindungi rakyat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


