TAHUKAH anda impak dan pengurusan ekonomi akibat pandemik COVID-19 bergantung kepada struktur ekonomi sesebuah negara tersebut?  Salah satu komponen struktur ekonomi yang penulis ingin utarakan adalah tahap penggunaan tenaga buruh atau di dalam istilah ekonominya dipanggil intensiti buruh.

Pandemik COVID-19 memberi impak besar kepada keseluruhan sistem ekonomi dan salah satu daripadanya adalah gangguan tenaga kerja (workforce disruption). Justeru itu, sejauh mana tahap gangguan tenaga kerja bergantung kepada jumlah penggunaan tenaga kerja dalam sesebuah firma atau industri. Semakin tinggi jumlah tenaga kerja, maka semakin tinggilah risiko jangkitan pandemik COVID-19 yang seterusnya akan memberi kesan kepada pengeluaran output.

Di dalam ekonomi, tahap penggunaan tenaga buruh dikira dengan menggunakan intensiti buruh. Semakin tinggi nilai intensiti buruh tersebut maka semakin tinggilah kebergantungan firma atau industri kepada sumber manusia.

Di manakah kedudukan Malaysia? Secara mutlak dan relatifnya, Malaysia adalah sebuah ekonomi yang berintensifkan buruh. Rajah di bawah memberi gambaran ringkas berkenaan intensiti buruh yang diukur dengan menggunakan nisbah buruh-output (labor-output ratio).



Dari segi relatifnya, intensiti buruh Malaysia lebih tinggi berbanding dengan Korea Selatan. Keadaan yang sama dapat dilihat pada sektor pembuatan dan perkhidmatan. Apakah kedudukan ini memberi implikasi kepada Malaysia di dalam menguruskan pandemik COVID-19?

Sebuah ekonomi yang berintensifkan buruh mengalami kesukaran dalam mengimbangi di antara keperluan menggurangkan risiko kesihatan dan risiko ekonomi. Langkah menghadkan kuantiti buruh di dalam industri akibat bekerja dari rumah atau penggiliran akan memberi impak kepada pengeluaran. Amalan penjarakan fizikal di tempat kerja juga terhad bagi industri berintensifkan buruh. Begitu juga, penyediaan tempat tinggal yang kondusif menjadi rumit apabila saiz buruh di firma berkenaan besar.

Sebaliknya sebuah ekonomi yang berintensifkan modal seperti Korea Selatan, langkah menghadkan bilangan buruh dijangka memberi impak yang minima kerana proses pengeluaran bergantung tinggi kepada mesin dan automasi. Jadi, situasi ini memberi peringatan yang jelas kepada keperluan untuk menaiktaraf sektor-sektor pengeluaran daripada berintensifkan buruh kepada berintensifkan modal. Ini perlu menjadi agenda pembaharuan di dalam ekonomi Malaysia.



* Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari dan Zahira Adila Zahuri adalah Ketua Ekonomi dan Penyelidik Ekonomi di Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS (EU-ERA), PERKESO.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI