Perkhidmatan awam hadapi defisit integriti, persepsi negatif - KPPA

Suasana Seminar Perkhidmatan Awam MADANI "Perkhidmatan Awam Madani Santuni Rakyat" yang dihadiri Wan Ahmad Dahlan, di Dewan Tuanku Canselor, UMK, hari ini. - Gambar Bernama
BACHOK: Perkhidmatan Awam kini berdepan defisit integriti dan persepsi negatif walaupun tindakan pengesanan dan pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia semakin agresif, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Ringkasan AI
- Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam menyatakan terdapat defisit integriti dan persepsi negatif dalam Perkhidmatan Awam, meskipun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bertindak agresif dalam pengesanan rasuah.
- Kerajaan memperkenalkan dua instrumen baharu iaitu Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan dan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan memperkukuh integriti organisasi awam.
- Cabaran utama dalam penyampaian perkhidmatan awam adalah geseran institusi dan kerenah birokrasi disebabkan oleh mentaliti silo yang menghalang integrasi digital dan kerjasama rentas agensi, menyebabkan pembaziran sumber dan menjejaskan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.
"Kedua adalah pelaksanaan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) oleh Institut Integriti Malaysia bagi memperkukuh integriti dan tata kelola organisasi awam secara menyeluruh," katanya ketika berucap pada Seminar Perkhidmatan Awam MADANI di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kampus Bachok di sini hari ini.
Turut hadir Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Arham Abdullah dan Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Wan Ahmad Dahlan berkata geseran institusi dan kerenah birokrasi masih menjadi cabaran utama dalam penyampaian perkhidmatan awam.
Beliau berkata cabaran itu berpunca daripada halangan struktur dalaman dalam tatakelola organisasi yang menyukarkan kerjasama rentas agensi, sekali gus menjejaskan keberkesanan dan membawa kepada pembaziran sumber.
"Satu daripada faktor utama ialah mentaliti silo yang menyebabkan inisiatif strategik negara sukar direalisasikan.
"Sebagai contoh, pelaksanaan Perkhidmatan Digital Keseluruhan Kerajaan yang memerlukan integrasi digital secara lancar dan penyampaian perkhidmatan daripada awal hingga akhir merentas agensi terjejas akibat setiap agensi beroperasi secara berasingan," katanya.
Wan Ahmad Dahlan berkata situasi itu memutuskan rantaian perkhidmatan yang kritikal dan menjejaskan kualiti penyampaian kepada rakyat.
Beliau berkata bagi mengatasi isu itu, kerajaan telah memperkenalkan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dan Penilaian Prestasi Demerit (DEEP).
"Hasilnya, pada 2024 ARPA berjaya menjimatkan RM542 juta, manakala DEEP digunakan untuk memantau prestasi ketua jabatan berdasarkan impak nyata kepada rakyat," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


