KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Ampang/Sri Petaling dijangka beroperasi semula pada 29 Feb 2024 selepas kerja-kerja pembaikan menyeluruh struktur jejambat dan landasan berhampiran stesen LRT Bandaraya siap.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perancangan asal bagi menyiapkan kerja pembaikan dan pengoperasian normal laluan tersebut adalah pada pertengahan bulan depan, namun beberapa kerosakan lain telah dikesan pada struktur jejambat berhampiran iaitu jejambat 164 dan 165 yang memerlukan pembaikan menyeluruh.

"Setelah mendapat pandangan dan nasihat daripada jurutera perunding, kerja-kerja tambahan perlu dilakukan pada struktur jejambat tersebut bagi memastikan ia selamat, mengikut spesifikasi dan dapat memenuhi kriteria pengoperasian normal.

"Kerja-kerja pembaikan ini juga perlu melibatkan nasihat, penilaian serta kelulusan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan kerana pemasangan struktur sokongan harus dipasang di dalam Sungai Klang yang terletak bersebelahan jejambat LRT terlibat," menurut kenyataan itu.

Menurut Rapid Rail, kerja-kerja tambahan itu telah menyebabkan jangka masa bagi kerja-kerja pemulihan dilanjutkan selama tiga bulan.

"Rapid Rail ingin memohon maaf atas kesulitan dialami oleh pengguna. Keputusan diambil bagi melanjutkan masa kerja-kerja pemulihan adalah untuk memastikan semua kerosakan dapat dikenal pasti dan dibaiki demi menjamin keselamatan operasi dan pengguna pengangkutan awam," katanya.

Pada 27 Jan lepas, perkhidmatan LRT laluan Ampang mengalami kelewatan atas faktor keselamatan akibat penjajaran landasan yang bengkok berhampiran stesen Bandaraya selain kerosakan struktur jejambat di kawasan berkenaan dipercayai disebabkan kerja-kerja pembinaan di kawasan bersebelahan.

Susulan itu, Rapid Rail terpaksa menutup laluan antara stesen Masjid Jamek dan stesen Bandaraya dan penumpang LRT terpaksa menggunakan laluan alternatif termasuk bas bagi meneruskan destinasi masing-masing.

-- BERNAMA