Cuti sudah habis, Akmal Saleh bekerja semula untuk UMNO - ADUN Duyong

Mohd Noor Helmy (kanan) bersalaman dengan Dr Muhamad Akmal ketika mereka bertemu di KLIA hari ini. - Foto ADUN Duyong
KUALA LUMPUR: Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh kekal teruskan tugas selaku Ketua Pemuda UMNO, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Ringkasan AI
- Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh teruskan tugas sebagai Ketua Pemuda UMNO, menurut kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
- Dr Muhamad Akmal dipastikan tidak meletakkan jawatan selepas berjumpa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum menuju Sandakan untuk kempen Pilihan Raya Kecil (PRK).
- Beliau sebelum ini mendesak UMNO keluar dari Kerajaan Perpaduan dan mencadangkan penyatuan orang Melayu antara UMNO dan Pas melalui Muafakat Nasional 2.0, namun Presiden UMNO menegaskan untuk meneliti setiap keputusan demi mengelakkan keputusan yang tidak tepat.
“Setakat hari ini saya tak dengar apa-apa cerita pasal peletakan jawatan. Ini baru jumpa beliau di lapangan terbang. Dalam 1.15 tengah hari tadi penerbangannya ke Sandakan untuk PRK Kinabatangan,” kata Noor Helmy ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Beliau turut menegaskan, waktu cuti Dr Muhamad Akmal selaku ADUN Merlimau itu sudah selesai dakan akan mula menggalas tugas untuk parti.
“Jadi, beliau sudah habis cuti… kini dia mula balik bekerja untuk parti UMNO,” katanya lagi.
Sebelum ini ada media melaporkan dakwaan Dr Muhamad Akmal menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan ADUN Merlimau di Melaka.
Laporan itu juga memetik sumber yang rapat dengan UMNO mendakwa Dr Muhamad Akmal telah memaklumkan perkara itu kepada sekumpulan pemimpin Pemuda UMNO menerusi mesej WhatsApp ketika beliau berada di Shanghai, China.
Difahamkan, Dr Muhamad Akmal pergi ke Shanghai untuk memantau seorang kanak-kanak penghidap penyakit Biliary Atresia, Nur Asyura Medina, yang berjaya menjalani pembedahan pemindahan hati di negara itu Selasa lalu.
Dr Muhamad Akmal dalam hantaran di Facebook rasminya semalam turut menyatakan penghargaan kepada orang ramai di atas doa dan sokongan kepada anak kecil itu yang telah selamat pulang ke Malaysia hari ini.
Pada 3 Jan lalu, Dr Muhamad Akmal mendesak agar partinya keluar dari Kerajaan Perpaduan dan berperanan sebagai pembangkang serta mencadangkan penyatuan orang Melayu antara UMNO dan Pas melalui Muafakat Nasional 2.0
Namun pada 6 Jan, Presiden UMNO Datuk Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu akan meneliti setiap keputusan bagi mengelakkan ia "dipatuk oleh ular yang sama buat kali kedua di tempat yang sama."
Beliau turut menasihatkan Dr Muhamad Akmal, sambil menyatakan, perselisihan pandangan dan kritikan dalam parti merupakan sebahagian daripada realiti perjuangan politik.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


