Perkongsian antara sektor awam dan swasta adalah penting untuk memenuhi pembangunan infrastruktur sekolah jenis kebangsaan Tamil di negara ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan.

Beliau berkata kerajaan menggalakkan penyertaan sektor swasta dan lembaga pengetua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dalam pembangunan sekolah tersebut dan tidak sebaliknya bergantung kepada peruntukan kerajaan semata-mata.

"Sebagai contoh, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Meru di Klang memulakan usaha sendiri untuk mengumpul dana bagi pembinaan dewan serbaguna melalui lembaga pengetua sekolah dan ini perlu dicontohi," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menghadiri Kejohanan Bola Sepak P. Panchanathan yang julung kali diadakan antara SJKT di Selangor, di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semalam.

Kamalanathan berkata SJKT Jalan Meru telah menerima peruntukan sebanyak RM200,000 yang merupakan sebahagian daripada peruntukan khas berjumlah RM25 juta bagi penyenggaraan 157 SJKT yang dikategorikan sebagai sekolah kerajaan.

Sebanyak 51 pasukan terdiri daripada pelajar berumur 12 tahun dan ke bawah mengambil bahagian dalam kejohanan itu yang dijuarai oleh SJKT Jalan Meru yang membawa pulang trofi dan hadiah RM1,000 yang disampaikan oleh Kamalanathan.

-- BERNAMA