Perkukuh institusi kekeluargaan menjelang fasa negara tua

Dr Wan Azizah menyampaikan ucapan pada Seminar Inspirasi Keluarga MADANI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah hari ini. - Gambar Bernama
KOTA KINABALU: Institusi kekeluargaan perlu segera diperkukuh sebagai asas kesejahteraan nasional ketika Malaysia bersiap sedia memasuki fasa negara tua menjelang 2048, kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Ringkasan AI
- Dr Wan Azizah menekankan keperluan mengukuhkan institusi kekeluargaan sebagai asas kesejahteraan negara menjelang Malaysia menjadi negara tua menjelang 2048.
- Beliau menyorot cabaran dunia digital yang menuntut peranan ibu bapa sebagai pelindung anak, dengan menekankan perlunya pemantauan keluarga sendiri terhadap penggunaan gajet dan kandungan digital.
- Dr Wan Azizah juga menyeru untuk menghidupkan kembali nilai-nilai rahmah, mawaddah, dan sakinah dalam rumah tangga, serta memupuk adab dan hikmah dalam interaksi harian sebagai langkah memperkukuhkan keluarga harmoni dalam era moden.
Dr Wan Azizah berkata demikian ketika berucap pada Seminar Inspirasi Keluarga MADANI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Hadir sama isteri Yang Dipertua Negeri Sabah Toh Puan Faridah Tussin dan isteri Ketua Menteri Datin Seri Juliah Salag.
Dr Wan Azizah berkata institusi kekeluargaan kini berdepan cabaran dunia digital yang melibatkan pelbagai bentuk kandungan tanpa tapisan yang menuntut peranan ibu bapa sebagai pelindung dan pembimbing terdekat anak.
Walaupun kerajaan boleh menggubal dasar tertentu, beliau berkata pemantauan paling efektif tetap bermula daripada keluarga sendiri.
"Zaman sekarang digital (dan) semua di hujung jari. Kita dapat macam-macam (daripada Internet) termasuk ada yang baik dan ada tidak baik. Bagaimana menapisnya?
"Terutamanya untuk generasi akan datang, generasi anak-anak kita. Kerajaan mungkin mengadakan satu polisi, tetapi siapa yang memantau (anak)," katanya.
Selain itu, Dr Wan Azizah turut menyatakan kebimbangan terhadap kebergantungan kepada gajet sebagai alat untuk menenangkan anak kecil ketika ibu bapa sibuk dengan pelbagai tugasan harian.
Beliau juga menekankan keperluan menghidupkan kembali nilai rahmah, mawaddah (kasih sayang) dan sakinah (ketenangan) sebagai jiwa rumah tangga, selain memupuk adab serta hikmah dalam interaksi harian.
Seminar itu menghimpunkan peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik serta masyarakat setempat untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan pendekatan membina keluarga harmoni dalam era moden.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


