KUALA LUMPUR: Stigma terhadap penyakit mental perlu dihapuskan dalam kalangan masyarakat bagi memberi ruang kepada individu yang menghidap penyakit tersebut untuk berani tampil mendapatkan rawatan sewajarnya.

Menurut Pakar Perubatan Psikiatri, Hospital Cyberjaya, Dr. Aida Harlina Abdul Razak, oleh kerana stigma masyarakat yang sering menggambarkan individu yang menghidap penyakit ini sebagai individu yang lemah semangat, sekali gus menjadi punca kepada individu tersebut tidak berani tampil mendapat rujukan dengan pakar.

Ujarnya lagi, akibat stigma yang terlalu kuat dipegang oleh masyarakat, individu merasakan dirinya terpinggir untuk memberanikan dirinya bersuara.

"Ia boleh mengakibatkan diskriminasi, prasangka dan peminggiran mereka yang mengalami masalah
kesihatan mental, menyebabkan mereka sukar untuk mendapatkan bantuan, menerima sokongan atau mengambil bahagian sepenuhnya dalam masyarakat,

"Stigma boleh menjadi penghalang kepada rawatan kesihatan mental dan boleh mendatangkan akibat yang berbahaya bagi mereka yang terjejas oleh keadaan kesihatan mental sehingga boleh cenderung kepada tingkah laku berisiko," katanya ketika ditemu bual dalam program AWANI Pagi pada Jumaat.

AWANI Pagi: Hentikan stigma kesihatan mental


Selain itu, menurut Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan (National Health and Morbidity Survey) (NHMS) pada tahun 2019 mendapati 2.3 peratus rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas mengalami masalah kemurungan.

Tambahnya, dapatan Kajian NHMS 2022 menunjukkan seorang daripada lapan remaja pernah terfikir untuk membunuh diri dan 1 daripada 10 remaja pernah cuba membunuh diri.

Keadaan ini sangat membimbangkan dan perlu usaha yang proaktif daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan rakan-rakan strategik KKM.

Mengulas lanjut, beliau berkata, KKM proaktif dalam membendung stigma terhadap kesihatan mental menerusi tema sambutan di peringkat kebangsaan iaitu Kesihatan Mental Milik Semua, Hentikan Stigma.

"Tema ini berpandukan kepada tema yang telah diberi pada tahun ini oleh World Federation of Mental Health iaitu mental health is the universal human rights.

"Tapi Malaysia kita telah mengolah, mengambil tema tersebut dan kami tetapkan kesihatan mental milik semua, hentikan stigma. Kerana KKM sangat proaktif ke arah menghentikan stigma terhadap kesihatan mental," katanya lagi.