KUALA LUMPUR: Sistem pangkalan data perlu diperkukuhkan agar dapat menjejak corak perbelanjaan penerima bantuan kerajaan.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Prof. Tan Sri Noor Azlan Ghazali berkata ini bagi memastikan bantuan tersebut dibelanjakan mengikut objektif insentif yang dihulurkan dan memastikan penerima dapat bantuan sesuai dengan keperluan.

“Bayangkan dengan cara menggunakan fleetcard yang kita boleh jejak penggunaannya penting. Ini untuk kita ketahui bagaimana ia digunakan dan analisis data juga boleh dibuat. Kita boleh tengok corak perbelanjaan.

“Hari ini bila kita beri Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Kita tidak tahu ia digunakan untuk apa. Tetapi dengan adanya kaedah yang lebih berteknologi tinggi, kita boleh jejak dari segi konteks berapa cepat, berapa banyak dan apa yang mereka belanjakan,” katanya dalam program Agenda AWANI.


Noor Azlan yakin dengan pendekatan ini ia mampu membantu pihak kerajaan perhalusi dasar sedia ada dan dapat pastikan keperluan sebenar isi rumah.

Dalam konteks pemberian subsidi, beliau berkata harus dijelaskan bahawa matlamat pemberian subsidi adalah supaya secara beransur-ansur, orang yang menerima pemberian tersebut dapat dikeluarkan daripada program berkenaan.

Disinilah kemudahan teknologi yang ditawarkan boleh dimanfaatkan untuk menghentikan ketirisan subsidi serta memastikan hanya yang layak mendapat faedah daripada perbelanjaan kerajaan tersebut.