Persoalan siapakah yang bakal mengisi jawatan Menteri Besar Selangor dijangka berakhir hari ini apabila Tan Sri Khalid Ibrahim dijadualkan mengangkat sumpah bagi jawatan itu jam 9 pagi nanti.

Abdul Khalid dari PKR yang telah memegang jawatan tersebut penggal lepas, akan mengangkat sumpah bagi penggal kedua sebagai Menteri Besar di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang.

Menurut laporan Bernama, ia telah disahkan oleh seorang pegawai di Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor.

Isu pertikaian jawatan MB Selangor telah mendapat perhatian akhbar sejak seminggu lalu selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) diumumkan.

Ia terus menjadi isu apabila Pas dan DAP memperoleh lebih kerusi berbanding iaitu 15 kerusi berbanding PKR yang hanya memenangi 14 kerusi.

Spekulasi timbul samada jawatan itu akan disandang oleh ahli Pas atau PKR.

DAP telah dikecualikan kerana menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, jawatan tersebut mestilah dari kalangan orang Melayu Islam.

Perkara ini menjadi lebih kontroversi apabilan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali membidas proses perlantikan MB Selangor kerana tidak merujuk pandangan kepimpinan negeri.

Beliau dilaporkan telah mengecam tindakan Presidennya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang tidak membuat keputusan secara konsensus.

Namun, Azmin telah menafikan dirinya berhasrat untuk merebut jawatan tersebut.

Beberapa hari lepas pula, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan telah memberitahu bahawa Abdul Khalid telah akan kekal sebagai MB Selangor.

Dalam kenyataan itu, perkara tersebut telah mendapat persetujuan dan sokongan dari Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Khalid mengangkat sumpah pertama kali sebagai menteri besar pada 13 Mac 2008, empat hari selepas PRU 2008 manakala barisan anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor mengangkat sumpah pada 23 Mac, iaitu 10 hari selepas itu.

Beliau juga merupakan orang pertama dalam kalangan pemimpin pembangkang yang dilantik sebagai Menteri Besar Selangor.

Kesemua 13 MB Selangor sebelum ini daripada Umno, parti komponen utama Barisan Nasional (BN).
Pada PRU13, PR memenangi 44 daripada 56 kerusi Dun Selangor, meningkat daripada 36 kerusi yang diperoleh pada 2008.

PKR menang 14 kerusi berbanding DAP dan PAS yang masing-masing memperoleh 15 kerusi manakala BN pula memenangi 12 kerusi.