BUKIT MERTAJAM: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Pulau Pinang mengakui menerima permohonan bagi mendapatkan bayaran pampasan daripada mangsa keganasan rumah tangga menerusi Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Susulan itu, Pengarah Perkeso Pulau Pinang Mustafa Dreman berkata pihaknya telahpun memberi penjelasan kepada mangsa bahawa skim tersebut tidak meliputi perlindungan bagi kes seumpama itu dan hanyalah untuk perlindungan kepada suri rumah yang mengalami kemalangan, penyakit atau sebarang insiden yang berlaku ketika melakukan kerja-kerja berkaitan rumah tangga sehingga menyebabkan hilang upaya kekal atau keilatan.

"Sebagai contoh, bencana domestik boleh berlaku di dalam atau di luar rumah yang menyebabkan kecederaan diri kepada seseorang suri rumah akibat daripada dan semasa menguruskan rumah tangga termasuk ketika mereka menghantar atau mengambil anak di sekolah.

"Memang ada beberapa mangsa keganasan rumah tangga datang untuk mendapatkan perlindungan skim ini dan pihak kami telahpun memberi penjelasan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Taklimat Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan SKSSR kepada pihak media, anjuran Perkeso bersama Kelab Media Mutiara Pulau Pinang, di sini hari ini.

Mustafa berkata seramai 10,544 wanita dan suri rumah di negeri ini telah mendaftar sebagai pencarum Perkeso menerusi SKSSR yang diperkenalkan sejak 1 Dis lepas.

Katanya daripada jumlah itu, sebanyak 10,471 pencarum adalah suri rumah yang berdaftar dengan e-Kasih dan mencarum dengan skim i-Suri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Golongan wanita disaran mendapatkan perlindungan melalui skim tersebut yang menyediakan faedah seperti hilang upaya kekal, perubatan dan pemulihan, elaun keuzuran, bantuan dialisis, pencen penakat dan pengurusan jenazah.

"Skim tersebut ditawarkan kepada semua suri rumah berusia bawah 55 tahun dan menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau separuh masa, serta berkahwin atau bujang, layak untuk menyertai skim itu, dengan caruman RM120 bagi tempoh 12 bulan, yang dibayar secara lebih awal," katanya.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 24,369 individu bekerja sendiri telah mencarum menerusi SKSPS di negeri ini tahun lepas dan ia dijangka akan terus meningkat berdasarkan rekod yang dicatatkan sehingga Februari tahun ini adalah sebanyak 1,335 pencarum baharu.

"Kita juga minta mereka yang bekerja sendiri untuk tampil mencarum dengan Perkeso menerusi SKSPS kerana pelbagai perlindungan ditawarkan menerusi skim tersebut kepada mereka," katanya.

-- BERNAMA