KANGAR: Perlis berjaya mendapat pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan yang ke-10 dengan nama sebagai 'Perlis Geopark' selepas memenuhi skop untuk diperakukan Jawatankuasa Geopark Kebangsaan.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Perlis Geopark hari ini, memaklumkan Sesi Penilaian Aspiring Perlis Geopark Ke Arah Penarafan Kebangsaan' telah berlangsung pada 4 Sept hingga 7 Sept 2023.

"Sebanyak 23 Geotapak dipilih untuk dinilai di seluruh negeri Perlis. Jawatankuasa Geopark Kebangsaan telah memperakukan keputusan Panel Penilai dan mengisytihar Perlis menjadi Geopark Kebangsaan dengan nama 'Perlis Geopark'," menurut hantaran itu.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian sambutan ke-50 tahun Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) di Kuala Perlis hari ini, Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli menganggap pengiktirafan Perlis Geopark itu sebagai satu pencapaian menakjubkan.

"Kita akan berusaha mempertahankan untuk penilaian akan datang pada 2027," katanya.



PERLIS-GEOPARK 2 (AKHIR) KANGAR



Dalam pada itu, Setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis merangkap Pengurus Perlis Geopark Dr Puteh Soraya A Rahman dalam kenyataan hari ini berkata penarafan Perlis Geopark itu menjadi satu batu loncatan kepada usaha meningkatkan industri pelancongan di negeri berkenaan.

"Pelancong mempunyai satu lagi pilihan produk pelancongan baharu yang disebut sebagai 'geotrail' dan boleh dipandu oleh 'geoguide' berdaftar bagi mengenali geologi dan biodiverstiti yang terdapat di Perlis.

"Moga seluruh rakyat Perlis mendapat manfaat bagi penjenamaan Perlis Geopark ini terutamanya menjelang Tahun Melawat Perlis 2024-2025," katanya.

-- BERNAMA