ARAU: Perlis mula menjalankan pengimarahan masjid dengan melaksanakan solat fardu secara berjemaah dengan saf dirapatkan bermula hari ini.

Tinjauan di Masjid Negeri Arau mendapati walaupun kelonggaran diberikan untuk menunaikan solat secara saf dirapatkan, jemaah yang hadir untuk solat Zohor di masjid berkenaan masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti yang sudah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebelum ini.

Menurut Timbalan Pengerusi merangkap Imam II Masjid Negeri Arau, Zubair Abdullah, dengan kelonggaran yang dibenarkan oleh MAIPs setelah mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail diharapkan ia dapat memberi peluang kepada masyarakat terutama di kawasan sekitar Arau untuk menunaikan solat di masjid berkenaan.

Katanya, pelaksanaan solat jemaah dengan saf dirapatkan bermula sejak Subuh pagi tadi dengan mengambil kira sejadah jemaah bersaiz ‘standard’ dirapatkan di ruang solat.

"Saf itu boleh dalam keadaan rapat tetapi mengikut sejadah masing-masing. Kita difahamkan negeri-negeri lain masih belum lagi dirapatkan seperti Perlis.

"Alhamdulillah, dengan SOP memang kita titik beratkan dan sentiasa memantau, jadi apabila jemaah hadir kita periksa suhu dan sediakan sanitizer.

"Kalau tidak ada MySejahtera, kita sediakan buku untuk tulis nama dan pemakaian pelitup muka memang kita wajibkan dan sekiranya ada yang terlupa, kita sediakan untuk jemaah yang hadir," jelasnya.

Katanya, sebelum pelaksanaan solat dengan saf dirapatkan ini, kehadiran adalah sekitar 200 hingga 250 orang.

Namun, kini bilangan jemaah bertambah melebihi 300 jemaah terutama ketika solat Isyak.

Jelas Zubair, perkembangan ini menjadikan Perlis sebagai negeri pertama di negara ini yang menjalankan solat dengan ketetapan baru ini.

Sementara itu, jemaah masjid yang ditemui melahirkan rasa syukur dengan kelonggaran solat berjemaah ini.

Seorang jemaah, Mahadzir Ahmad, 68, dari Taman Intan, Arau berkata, dengan ketetapan pelaksanaan solat seperti ini diharapkan akan menarik ramai lagi muslimin dan muslimat untuk terus mengimarahkan masjid.

"Walaupun rapatkan saf, sebenarnya rapatkan sejadah ikut sejadah masing-masing... tidak lah orang kata bersentuh antara bahu. Jadi, alhamdulillah dengan merapatkan ini kita dapati bilangan jemaah akan bertambah ramai," katanya.

Bagi Hamidun Hamzah, 70, beliau menganggap perkembangan sesuatu yang positif dalam memberi peluang kepada rakyat Perlis untuk terus melaksanakan ibadah solat di masjid dengan bilangan jemaah yang ramai.

Insya-Allah kalau di masa hadapan kalau dah COVID-19 dah berkurang boleh rapat balik tapi buat masa ni eloklah kita ikut SOP yang ada untuk kepentingan jemaah semua," ujarnya.

Khamis lalu Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, perkenan membenarkan seluruh masjid di negeri itu untuk melaksanakan solat berjemaah secara merapatkan saf.

Titah baginda, kebenaran itu diberikan setelah meneliti perkembangan semasa penularan COVID-19 semakin berkurangan dan selepas meneliti kadar 100 peratus vaksinasi lengkap, selain peningkatan dos penggalak di negeri ini yang mencapai kadar 16.9 peratus atau 30,575 penerima sehingga 2 Januari lalu.