Perlis kini sedang rancak dengan pelbagai aktiviti ekonomi yang mampu memberi pelbagai peluang pekerjaan kepada rakyat, kata Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata projek pembangunan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang dijadual bermula bulan Jun ini adalah antara rancangan pembangunan yang bakal memakmurkan negeri Perlis.

"CVIA yang turut dilengkapi Pelabuhan Darat Perlis bakal menjadikan Padang Besar sebagai sebuah kawasan perindustrian dan hab logistik terbesar di negeri Perlis," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan ekonomi dan politik di negeri Perlis yang dilihat terlalu senyap berbanding negeri lain.

Projek CVIA yang dirasmikan pada bulan Mac lepas oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail merangkumi dua komponen utama iaitu kawasan industri seluas 1,011.7 hektar dan pelabuhan darat seluas 204.6 hektar.

Azlan berkata walaupun Perlis kelihatan sunyi termasuk tanpa sebarang isu membabitkan politik, tetapi ia rancak dalam pembangunan sosioekonomi atas hasil usaha kerajaan negeri.

Diminta mengulas pula mengenai laporan media bahawa Mufti Perlis Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menerima sebuah objek mistik yang dikatakan berupa jenglot, Azlan berkata perkara tersebut tidak seharusnya berlaku.

"Saya tidak tahu mengenai perkara ini. Ia harus disiasat sama ada ia bertujuan baik atau buruk," katanya.

Jenglot adalah objek mistik yang dikatakan mempunyai kaitan dengan ilmu hitam.

Mohd Asri dalam akaun Facebooknya berkata beliau telah menyerahkan kotak yang mengandungi objek itu kepada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk dikaji secara saintifik.

-- BERNAMA