KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis melihat tiada masalah untuk menggunakan tema rasmi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, ‘Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ yang dilancarkan Kerajaan Persekutuan pada 27 Mei lalu, di peringkat negeri.

Bagaimanapun, Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata, kerajaan negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) itu menolak penggunaan logo rasmi serta frasa ‘Malaysia MADANI’ yang digunakan dalam tema berkenaan.

Katanya, setakat ini pihaknya masih menunggu perkembangan daripada pucuk pimpinan PN berhubung penggunaan logo dan slogan sambutan Hari Kebangsaan di negeri itu.

“Setakat ini (saya) belum dapat apa-apa lagi daripada pucuk pimpinan (PN), jadi kita kena tunggu dan lihat dahulu. Perkara ini juga akan dibincangkan dengan pucuk pimpinan PN terlebih dahulu.

“Namun, saya melihat, kita (kerajaan negeri) boleh sahaja ikut (kerajaan pusat), tiada masalah. Cuma kita tidak pakai logo Malaysia MADANI itu, sebaliknya kita pakai moto (tema) sahaja,” katanya.

Mohd Shukri berkata demikian selepas majlis penyampaian Anugerah Seni Budaya Negeri Perlis anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN), di sini, malam tadi.

Katanya, isu penggunaan logo dan slogan berbeza antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri bagi sambutan Hari Kebangsaan bukan sesuatu yang baharu kerana ia pernah dilakukan pada 2012.

Ketika itu, katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Umum PKR dan berada dalam blok pembangkang Pakatan Rakyat (PR) mengatakan, penggunaan logo dan tema alternatif bagi sambutan Hari Kebangsaan adalah tidak salah. 

Kata Anwar ketika itu, penggunaan tema atau slogan yang berbeza untuk sambutan Hari Kebangsaan di negeri PR tidak akan memecahbelahkan rakyat kerana tema sedia ada yang dilancarkan kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN) sudah pun mewujudkan keadaan berpuak-puak.

PR pada ketika itu menggunakan tema alternatif ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ bagi sambutan Hari Kebangsaan 2012 manakala tema rasmi kerajaan persekutuan ketika itu adalah ‘55 Tahun Merdeka: Janji Ditepati’.

Isu penggunaan logo dan tema Hari Kebangsaan alternatif timbul selepas PN mengumumkan empat negeri di bawah pentadbirannya mungkin akan menggunakan logo dan tema berbeza untuk sambutan peringkat negeri.

Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari berkata, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah gabungan parti itu mungkin menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN.

Logo itu berteraskan bunga raya dengan lima kelopak serta mengambil elemen warna yang terdapat pada Jalur Gemilang, dengan tema 'Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera'.

Tindakan itu bagaimanapun mendorong Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata beliau akan meneliti dan menyiasat perkara berkenaan kerana tidak mahu perbezaan berlaku yang akan mewujudkan jurang serta suasana tidak bersatu.

Kata Fahmi, sambutan Bulan Kebangsaan bukan bersifat politik, sebaliknya ia adalah sambutan yang diadakan di peringkat negara.

Sementara itu, sambutan Hari Kebangsaan ke-66 peringkat negeri Perlis akan dilaksanakan di Mini Putrajaya Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di Persiaran Wawasan di sini, pada malam 30 Ogos.

Sambutan dipindahkan untuk dilangsungkan di perkarangan bangunan berkenaan kerana lokasi yang lazim digunakan iaitu Stadium Tuanku Syed Putra, sedang menjalani kerja naik taraf.