KUALA LUMPUR: Pencapaian setiap kementerian perlu dipantau oleh sebuah badan bebas dianggotai pihak luar yang berkaitan supaya ketelusan dan kecekapannya dapat dipastikan.

Pengarah Eksekutif Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, kementerian perlu terbuka dalam hal ini agar matlamat yang dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat dicapai dalam tempoh 100 hari diberikan.

“Ini kita katakan sebagai ‘governing by network’.

"Maksudnya, pihak wakil industri, wakil persatuan dikenali ramai yang mempunyai reputasinya, wakil NGO mengikut bidang masing-masing dan mereka harus menjadi satu badan untuk menilai.

“Penting (untuk dibentuk) dari awal lagi. Dan sebolehnya, badan ini bukan dipengerusikan oleh menteri, tetapi kita perlu terbuka dan telus,” kata Noor Azlan. 

Beliau merujuk kepada ucapan Perdana Menteri yang mengatakan bahawa kita mesti bekerja dengan pantas, bersepadu dan melibatkan rakyat serta industri dengan idea-idea baharu.

Maka tegasnya, kita tidak boleh lagi mengulang cara lama setiap kali kabinet berubah, maka perlu diperkenalkan badan bebas ini untuk memastikan kelancaran dan keberkesanan gerak kerja kementerian dalam memulihkan negara daripada krisis hari ini.

Badan ini perlu duduk berbincang dengan kementerian dan bersama menetapkan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang munasabah untuk dicapai dalam tempoh 100 hari pertama, sebelum beranjak ke peringkat seterusnya dengan matlamat lebih besar, tambah Noor Azlan.

“Kedua-dua pihak mesti sama-sama setuju. Maksudnya, panel pemantau pun tidaklah boleh menetapkan sesuatu yang terlalu di awangan.

“Jadi, duduk bersama, bincang apa yang mahu dicapai. Kemudian kita setuju dengan apa dan bila nak dicapai, dan daripada situ kita boleh buat pemantauan secara berkala,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan supaya setiap kementerian dinilai daripada keberhasilan, bukan sekadar bilangan program atau skala aktiviti semata-mata.

Katanya, setiap perancangan kerajaan haruslah berpaksikan kepada realiti di akar umbi yang perlu difahami sebaiknya supaya ia dapat benar-benar menyelesaikan setiap masalah yang dicetuskan oleh krisis yang berlaku.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara Agenda AWANI dihoskan oleh Nazri Kahar pada Rabu. Tontonnya di sini:

Perlu ada badan pemantau bebas sorot pencapaian setiap kementerian - Dr. Noor Azlan

Agenda AWANI: 100 Hari | Kerangka penilaian prestasi