SEREMBAN: Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun mahu satu prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan bersesuaian untuk diguna pakai oleh pengusaha penginapan secara perkhemahan dilaksanakan di negeri ini.

Justeru, Aminuddin berkata beliau telah mengarahkan Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru untuk meneliti perkara itu dan menyemak dengan kerajaan Persekutuan, bagi membangunkan panduan yang jelas yang boleh digunakan oleh pengusaha penginapan dan pelancong.

"Exco perumahan dan kerajaan tempatan negeri diminta menyemak dengan bahagian terlibat mengenai undang-undang kecil yang ada untuk diselaraskan supaya industri ekopelancongan terlibat ini dapat memberikan keselamatan maksimum kepada orang ramai yang bercuti secara berkhemah

"Kita lihat menjadi trend orang ramai memilih percutian secara berkhemah di tepi pantai, atau di hutan..ia lebih menyeronokkan... jadi percutian di kawasan tanah tinggi, di tepi sungai perlu ada SOP yang jelas," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Aminuddin berkata pihaknya turut menerima permintaan daripada persatuan ekopelancongan di negeri ini berhubung pendaftaran dan kelulusan untuk aktiviti perkhemahan

Dalam pada itu Aminuddin mewakili kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga dan mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor dan mangsa banjir terutama di Terengganu dan Kelantan.

"Kerajaan negeri berasa simpati dan difahamkan air belum surut lagi untuk kerja membantu mangsa terlibat, di samping itu kepada mangsa terkorban di Batang Kali, kami berharap keluarga terlibat dapat bersabar, apa yang berlaku adalah perkara di luar jangka," katanya.

Mengenai kejadian tanah runtuh dan tanah mendap di negeri ini, beliau berkata agensi terlibat seperti Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengenal pasti beberapa kawasan titik panas.

Katanya beberapa kejadian tanah runtuh dan tanah mendap melibatkan jalan raya telah diambil tindakan oleh pihak berkaitan dan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko perlu lebih berhati-hati.

Aminuddin berkata kerajaan negeri juga telah menetapkan tiada sebarang aktiviti percutian di hutan bukit dan kawasan terlibat diarahkan tutup seawal Oktober lepas.

-- BERNAMA