Kerajaan perlu mencari keputusan 'menang-menang ' dengan syarikat-syarikat konsesi sebelum mengurangkan tol secara berperingkat, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir.

Beliau berkata banyak aspek perlu ditimbang termasuk kerugian yang perlu ditanggung oleh syarikat-syarikat konsesi sekiranya tol dikurangkan.

"Kami kena ambil kira jumlah tol yang ada, ada yang mungkin akan tutup dan ada yang tidak.... namun kami akan memastikan supaya (syarikat-syarikat konsesi) tidak menaikkan harga tol setiap tiga tahun kerana difahamkan mereka perlu menaikkannya untuk tujuan penaiktarafan.

"Kami mula berbincang sejak bulan pertama mengambil alih kerajaan dan hasil rundingan awal mendapati mereka bersetuju untuk memastikan 'win-win situation' tercapai sekiranya tol dikurangkan, mereka perlu menerima pampasan atas kerugian mereka," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai janji menghapuskan tol selepas 'walkabout' bersama calon Pakatan Harapan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Wong Siew Ki di sini, pada Selasa.

Mohd Anuar berkata usaha menghapuskan tol bukannya janji kepada rakyat dalam 100 hari sebaliknya merupakan janji jangka panjang yang perlu dilaksanakan secara berperingkat.

"Rakyat perlu faham bahawa perkara ini tidak boleh dilakukan dalam sekelip mata, namun kami akan cuba untuk mengusahakannya secara berperingkat bagi memastikan beban rakyat dapat dikurangkan," katanya.

Sementara itu, Mohd Anuar berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan kemudahan-kemudahan infrastruktur terutamanya jalan-jalan berlubang di Balakong akan segera diatasi bagi keselamatan penduduk.

"Kami bersedia bekerjasama dengan PBT dan penduduk, sekiranya ia melibatkan jalan-jalan persekutuan, pihak kementerian akan segera mengambil tindakan untuk menaiktarafkannya supaya keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya dapat diutamakan," katanya. -- Bernama