KUALA LUMPUR:Individu yang telah cukup syarat berzakat perlu segera melaksanakan bayaran bagi membantu golongan yang terjejas akibat COVID-19.

Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata pandemik telah memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat kerana ramai yang terjejas dari segi pendapatan apabila dibuang kerja, dipotong gaji dan sebagainya.

"Ada juga yang sebelum ini dalam golongan M40 namun dalam sekelip mata berubah menjadi B40 dan secara tidak langsung menjadikan mereka asnaf yang baharu. 

"Oleh itu PPZ berasa terpanggil untuk menguar-uarkan kepada mereka yang telah cukup syarat berzakat untuk segera melaksanakannya, agar dapat membantu mereka yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata ada dalam kalangan masyarakat yang memilih untuk menunaikan zakat dengan cara tersendiri atau agih terus kepada individu.

“Jika bayaran dibuat di pusat zakat, pembelaan kepada asnaf yang layak menerima zakat akan dapat dilakukan secara teratur dan sistematik. Hasilnya juga bertambah dan akan menguntungkan umat Islam seluruh negara.

"Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Malaysia kali ke 76 pada 21-23 Nov 2006 mengatakan dari segi syarak, mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui pemerintah adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak.

"Tetapi perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang pemerintah dalam perkara baik adalah berdosa kerana di dalam Islam patuh dan taat kepada Ulil Amri (pemerintah) dalam perkara baik adalah wajib," katanya.

Syed Ali Alhabshee juga menyeru kerajaan memberi perhatian khusus mengenai perkara itu kerana ia adalah penting bagi memastikan dana zakat cukup untuk menampung keperluan asnaf yang semakin ramai terutama pada musim pandemik COVID-19.

BACA: PPZ-MAIWP seru tunaikan zakat, bantu asnaf

BACA: MUIS sasar kutipan zakat sebanyak RM90 juta tahun ini