MALAYSIA
Perluasan SST peluang perkukuh keyakinan terhadap makanan tempatan

Dr Barakatun Nisak berkata, usaha mendidik pengguna tidak harus bergantung kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) semata-mata.
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diperluas mulai 1 Julai ini sewajarnya dilihat bukan sekadar isu harga, sebaliknya, peluang untuk memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap makanan tempatan yang sihat, mudah didapati dan berkhasiat.
Menurut Timbalan Dekan Akademik (Sains Kesihatan), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof, usaha mendidik pengguna tidak harus bergantung kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) semata-mata.
Katanya, ia perlu melibatkan semua kementerian secara bersepadu termasuk sektor pendidikan dan media bagi membina keyakinan golongan muda tentang kehebatan sumber makanan negara sendiri.
Beliau menegaskan, nilai pemakanan sihat sebenarnya boleh diperoleh daripada sumber tempatan.
"Sebagai contoh, kandungan vitamin C dalam jambu batu adalah empat hingga lima kali ganda lebih tinggi berbanding buah oren import, manakala ikan seperti kembung, selar, pelaling dan sardin segar dari perairan Malaysia mengandungi asid lemak omega 3 yang setara dengan salmon, termasuk zat EPA dan DHA.
“Kebimbangan rakyat tentang kehilangan nutrisi apabila makanan import naik harga sebenarnya boleh ditangani jika rakyat dibekalkan maklumat tepat dan berasaskan bukti.
"Kita tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada makanan luar negara untuk makan secara sihat,” katanya kepada Astro AWANI dalam program AWANI Pagi, pada Jumaat.
HARGA BUKAN SATU-SATUNYA FAKTOR PEMILIHAN MAKANAN
Mengulas kajian sistematik oleh penyelidik Sweden yang diterbitkan tahun lalu, Dr Barakatun Nisak berkata, harga bukan satu-satunya faktor mempengaruhi pemilihan makanan.
Jelasnya, faktor lain seperti akses fizikal, pendidikan, budaya, norma sosial dan persekitaran makanan juga memainkan peranan penting.
Beliau berpandangan tabiat pemakanan rakyat tidak mudah berubah tanpa sokongan dasar awam, perubahan struktur sosial dan pendidikan berterusan.
"Pelaksanaan SST ini, katanya, sepatutnya menjadi titik tolak memperkukuh naratif tentang makanan tempatan dan mendorong rakyat membuat pilihan makanan sihat, mampu milik dan lestari.
"Jelasnya lagi, tahap kesihatan rakyat Malaysia yang kini membimbangkan dengan satu daripada dua individu mengalami obesiti memerlukan pendekatan menyeluruh.
"Pendidikan tentang konsep suku-suku separuh, penyimpanan makanan yang baik, serta pemilihan makanan segar seperti kacang rebus, ulam-ulaman dan buah tempatan perlu diperkasa bagi mengurangkan pengambilan makanan ultra-proses yang tinggi gula, garam dan lemak," katanya.
KAJIAN, DANA PENYELIDIKAN FOKUS DIET TRADISI RAKYAT MALAYSIA
Beliau turut mencadangkan supaya kajian dan dana penyelidikan difokuskan kepada diet tradisi rakyat Malaysia, merangkumi kepelbagaian makanan berasaskan ikan, herba tempatan dan cara penyediaan sederhana, serta tidak hanya menumpukan kepada diet Mediterranean yang sering dijadikan rujukan.
“Kita perlu membina naratif berdasarkan bukti tentang potensi makanan tempatan.
"Pendidikan formal di sekolah juga boleh memainkan peranan dengan mendidik anak-anak mengenal bahan makanan tempatan, malah menanamnya di taman sekolah, agar mereka lebih menghargai warisan pemakanan sendiri,” katanya.
Dr Barakatun Nisak menegaskan, kerjasama rentas sektor amat penting termasuk sokongan media untuk mengangkat kejayaan makanan sihat tempatan, demi membina budaya pemakanan berkhasiat yang berkekalan dalam kalangan rakyat Malaysia
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami