KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa supaya memperluaskan bantuan moratorium 2.0 secara automatik dan tidak menghadkan kepada golongan B40 sahaja.

Sebaliknya, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerajaan perlu memanfaatkan sepenuhnya kuasa di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 untuk memastikan institusi perbankan dan kewangan negara menawarkan bantuan moratorium kepada semua bagi meringankan beban sepanjang total lockdown.

Asyraf Wajdi dalam masa sama menyenaraikan tujuh rasional dan justifikasi ekonomi dibawah cadangan itu:

1. Memastikan keupayaan tunai rakyat tidak terjejas akibat pelaksanaan total lockdown hingga menyebabkan ekonomi negara turut terkesan teruk akibat penurunan drastik perbelanjaan isi rumah terutamanya dalam membiayai keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan utiliti (elektrik, air dan internet). Rata-rata berhadapan dengan masalah tunai akibat simpanan yang merosot teruk berbanding PKP 1.0 dahulu akibat PKP yang berpanjangan sebelum ini.

2. Penangguhan bayaran ansuran pinjaman bank juga dapat mengelakkan daripada berlakunya fenomena kemuflisan akibat kejatuhan teruk pendapatan syarikat-syarikat PKS, golongan bekerja sendiri dan isi rumah yang tiada pendapatan tetap termasuk M40 akibat pandemik COVID-19 berpanjangan.



3. Fenomena muflis dalam kalangan rakyat akibat pendapatan yang terjejas dan ketidakupayaan membayar ansuran pinjaman/ pembiayaan bank akan menyebabkan kerosakan teruk kepada ekonomi negara sekali gus memberi kesan langsung terhadap operasi dan tahap kestabilan institusi perbankan dan kewangan tempatan.

4. Penawaran moratorium mampu menjamin kestabilan sistem kewangan (financial stability) sekali gus mengelakkan bank-bank berhadapan dengan fenomena ketidakupayaan pelanggan membayar balik hingga membawa kepada peningkatan kadar NPL (Non-Performing Loan) atau Pinjaman Tak Berbayar.

5. Keupayaan institusi perbankan tempatan menyerap sebarang potensi kejutan pasaran (market shock) masih berada pada tahap yang kukuh sebagaimana piawai antarabangsa (IMF) dan Bank Negara Malaysia. Institusi perbankan tempatan mempunyai tahap modal yang sihat dan mampu mendukung aliran kredit ekonomi negara berdasarkan Nisbah Modal Keseluruhan (Total Capital Ratio) di tahap 18.1 peratus melebihi daripada keperluan BNM iaitu minimum  lapan peratus dengan Lebihan Modal Penampan (Capital Excess Buffer) mencecah RM126.3 bilion pada Februari 2021.

6. Tahap kecairan (liquidity) bank-bank tempatan juga berada dalam keadaan yang sihat berdasarkan laporan Tahap Liputan Kecairan (Liquidity Coverage Ratio) BNM bagi sistem perbankan negara iaitu pada 145 peratus dan melebihi keperluan minimum 100 peratus walaupun melaksanakan Moratorium 1.0 ketika PKP 1.0.

Walaupun terdapat peningkatan pada Peruntukan Kerugian Kredit (Provision for Credit Losses) sistem perbankan negara dari bulan ke bulan, ia tetap hanya 1.8 peratus daripada jumlah keseluruhan pembiayaan (pinjaman) sistem berjumlah hampir RM1.85 trilion.

7. Perlaksanaan moratorium 1.0 terdahulu juga ternyata tidak menjejaskan keupayaan institusi perbankan menjana keuntungan. Bank-bank tempatan baru mengumumkan keuntungan selesa bagi suku pertama tahun 2021 seperti contoh Maybank (RM2.39 billion), Public Bank (RM1.53 billion), Hong Leong Bank (RM2.17 billion) RHB Bank (RM650.39 juta), Bank Islam (RM202.46 juta) dan Affin Bank (RM68.94 juta).

Selain tujuh rasional itu, Pemuda UMNO turut menggesa kerajaan untuk mengarahkan agensi-agensi pembiayaan dan kredit milik kerajaan yang memberi fokus kepada golongan B40 dan Perusahaan Mikro seperti MARA, TEKUN, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan SME Bank  untuk melaksanaan moratorium bagi peserta-peserta program mereka.

Menurut Asyraf Wajdi, pengalaman pelaksanaan moratorium pada PKP 1.0 boleh dijadikan asas untuk pelaksanaan moratorium 'total lockdown' yang lebih efisien sekali gus membantu rakyat yang berhadapan dengan keadaan yang sulit.