JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah hari ini berangkat ke upacara pemakaman Almarhumah Tunku Zahrah Tunku Osman yang mangkat pada usia 62 tahun, semalam.

Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, dengan beberapa foto turut dikongsi di platform media sosial itu.

Almarhumah Tunku Zahrah yang merupakan sepupu kepada Sultan Ibrahim, telah berkhidmat lebih 30 tahun sebagai Pegawai Tadbir Negeri Johor dengan perjawatan terakhir sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor, sebelum bersara pada 2020.

Berangkat sama pada upacara pemakaman itu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che' Puan Besar Khaleeda Bustamam.

Turut berangkat Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Sultan Ibrahim. - BERNAMA