Permata Negara merintis usaha bagi penubuhan sebuah pusat penyelidikan yang akan menyediakan ekosistem bagi individu yang mempunyai kebolehan luar biasa untuk menjalankan penyelidikan dan inovasi.

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Penaung Permata berkata: "Kita harus mewujudkan dan memupuk persekitaran bagi membolehkan penyelidikan dan inovasi berkembang maju.

Rosmah berkata demikian pada pelancaran Bengkel Permata Science Institute di Royal Society London di sini pada Isnin.

Royal Society London bekerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan bengkel itu bermula esok sehingga 17 Mei.

Bengkel tersebut membabitkan 26 pelajar dari Permata Pintar, Permata Insan, Maktab Rendah Sains Mara, pelajar dari Kementerian Pendidikan, saintis muda dan enam guru.

Turut hadir Penasihat Kanan Royal Society London Luke Clarke; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said; dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom dan Ireland Utara Datuk Ahmad Rasidi Hazizi.

Rosmah berharap Permata dapat bekerjasama dengan Royal Society London bagi penubuhan pusat penyelidikan itu.

Beliau berkata bengkel itu merupakan sebahagian inisiatif Program Nobel Minda bertujuan memupuk kerjaya kepimpinan, pemikiran inovatif, kemahiran komunikasi serta kajian spesifik luar dalam bakat utama di bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

"Melalui pengalaman peribadi dan memberikan peserta peluang untuk berinteraksi dengan pemenang Hadiah Nobel dan Felow Royal Society kami berharap mereka akan dapat mengenal pasti sifat-sifat pemenang Hadiah Nobel dan memahami bagaimana mereka melihat hubungan antara idea yang orang lain tidak dapat memahami, bagaimana mereka menggunakan kreativiti untuk menyelesaikan masalah," katanya.

Rosmah berkata sejak 2011, lebih 750 pelajar menuntut di Kolej Permata Pintar dan lebih 430 pelajar sedang mengikuti program ijazah dan lepasan ijazah di lima universiti terbaik di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Jepun, Korea Selatan, Jerman dan Malaysia.

Rosmah berkata penyelidikan dan bimbingan daripada profesor dan penyelidik kanan sering menjadi tarikan unik dalam program Permata Pintar.

"Ramai yang telah menerbitkan jurnal berindeks tinggi. Kami juga telah memperkenalkan projek ''Genome To Space'' iaitu satu makmal bar kod DNA dan makmal astrofizik lengkap dengan menara cerap dan teleskop disediakan bagi menyediakan satu platform pembelajaran baharu untuk pelajar kita yang berminat dengan turutan DNA dan fenomena berkaitan angkasa," katanya.

Beliau berkata dengan kelulusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi penubuhan Pusat Bakat STEM Pintar dalam menguruskan pelajar yang mempunyai bakat luar biasa dan pascasiswazah melalui mentor, pelbagai program pengayaan dan penglibatan berterusan untuk meningkatkan keupayaan dan aspirasi mereka, akan meningkatkan lagi program Permata Pintar.

-- BERNAMA