GEORGE TOWN: Semua permohonan kebenaran berkahwin bagi Pulau Pinang ditangguhkan bermula esok (Selasa) sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

Perkara itu disahkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pengarahnya, Mohd Zakuan Zakaria berkata, hanya akad nikah bagi pasangan yang mendapat kebenaran berkahwin akan dibenarkan mengikut jadual diberikan.

Menurutnya, permohonan kebenaran berkahwin, pendaftaran nikah, cerai dan rujuk ditangguhkan bermula 25 Mei sehingga satu tarikh dimaklumkan kelak.

"Semua akad nikah bagi pasangan yang mendapat kebenaran hanya dibenarkan dijalankan di Pejabat Agama Daerah dalam tempoh 30 minit. Sementara itu, mereka yang membuat permohonan dan sedang menunggu kebenaran berkahwin akan ditangguhkan.

"Sementara itu, permohonan cabutan sijil perakuan nikah, cerai dan rujuk dibuka. Bagaimanapun, ia perlu melalui proses temu janji terlebih dahulu dengan PAD yang berkenaan," katanya.

Beliau berkata, urusan khidmat nasihat hanya dilakukan secara dalam talian iaitu menerusi emel dan panggilan telefon.

"Bayaran bagi cabutan sijil perakuan nikah, cerai, rujuk serta kursus pra perkahwinan hanya diterima pada hari Isnin dan Rabu iaitu dari jam 8 pagi hingga 4 petang sepanjang pelaksanaan PKP.

"Semua kursus pra perkahwinan secara bersemuka ditangguhkan sementara temuduga khas bagi menggantikan kursus pra perkahwinan dibuka secara dalam talian. Pendaftaran boleh dibuat menerusi laman sesawang http: //emunakahat.penang.gov.my," katanya.

Artikel asal di Sinar Harian: Permohonan berkahwin di Pulau Pinang ditangguh