PUTRAJAYA: Permohonan fasa satu untuk mengikuti pengajian Program Matrikulasi sesi 2024/2025 kepada pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dibuka bermula esok (15 Dis) hingga 31 Mac 2024.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan permohonan fasa dua dan pengemaskinian maklumat pelajar pula akan dibuka selama lima hari selepas keputusan SPM 2023 diumumkan.

"Permohonan ke Program Matrikulasi KPM adalah percuma dan pelajar boleh memohon melalui laman sesawang https://matrikulasi.moe.gov.my," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, keputusan permohonan akan dikeluarkan oleh Bahagian Matrikulasi KPM menerusi laman sesawang dalam tempoh 21 hari bekerja selepas keputusan SPM 2023 diumumkan.

"Pelajar yang berjaya mendapat tawaran ke Program Matrikulasi KPM perlu memuat turun dan mencetak sendiri surat tawaran dan dokumen pendaftaran melalui laman sesawang semakan keputusan tawaran Program Matrikulasi KPM," menurut KPM.

-- BERNAMA