KUALA LUMPUR: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia 55 tahun ke bawah boleh membuat permohonan pengeluaran i-Citra mulai hari ini, tiga hari lebih awal daripada tarikh ditetapkan.

Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP, memaklumkan permohonan itu boleh dibuat melalui laman sesawang icitra.kwsp.gov.my.

Bagi memudahkan permohonan dalam talian i-Citra, ahli dinasihatkan untuk memastikan nombor telefon bimbit mereka adalah sama seperti dalam rekod KWSP bagi urusan penerimaan 'one-time password' (OTP), di samping mempunyai akaun bank yang masih aktif untuk bayaran pengeluaran terbabit.

i-Citra membolehkan ahli yang layak untuk membuat pengeluaran simpanan KWSP mereka sehingga jumlah maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki simpanan dalam akaun 1 dan 2

Menurut kenyataan itu, pembayaran pertama i-Citra dijangka dikreditkan ke dalam akaun bank pencarum mulai bulan depan.

Jumlah pengeluaran yang diluluskan akan dibayar sehingga lima kali bayaran iaitu sebanyak RM1,000 sebulan tertakluk kepada baki simpanan.

i-Citra diperkenalkan selaras dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun lalu.

BACA: PEMULIH: Permohonan pengeluaran I-Citra KWSP dibuka 15 Julai

Ia adalah inisiatif jangka pendek bagi membantu pencarum yang terkesan dengan cabaran ekonomi akibat pandemik COVID-19 serta mengimbangi keperluan masa kini dan masa depan ahli.

i-Citra | Permohonan dibuka hari ini